SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis menegas bahawa setiap projek jalan kampung, jambatan, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta projek lain yang dilaksana di kawasan pentadbirannya adalah projek kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, segala projek sedang dalam pelaksanaan dan telah dilaksanakan terutama di kawasannya itu hasil titik peluh BN bukannya projek parti pembangkang.
“Saya amat kesal dengan setiap tuduhan dilemparkan ke atas diri saya termasuk projek dilaksanakan di kawasan saya ini. Semua projek yang rakyat lihat sekarang ini adalah projek BN, bukan pembangkang,” tegasnya.
Harden yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Sarawak berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Anak Ayam oleh Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman di Rumah Sigan, Radau Undop dekat sini semalam.
Beliau berkata, beliau sering berada di kawasan pentadbiran untuk melihat sendiri dan mendengar masalah dihadapi rakyatnya.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah meninggalkan kawasan saya dan sibuk-sibuk berada di kawasan lain.
“Jika saya berada di kawasan lain, saya dijemput atas majlis rasmi dan menjalankan tugas saya sebagai Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perumahan Sarawak,” jelasnya.
Beliau amat kesal dengan beberapa artikel yang disiar akhbar tempatan berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris sejak akhir-akhir ini yang menuduh beliau meninggalkan kawasannya disebabkan sibuk dengan urusan lain.
“Saya berada di kawasan lain adalah atas urusan menjalankan tugas kementerian saya… tugas sebagai Menteri Muda Sarawak,” katanya tegas.
Dalam pada itu, seramai 20 tuai rumah di kawasan Radau, Samak serta Ulu Paku, Undop menyatakan sokongan mereka kepada Harden dan mahukan Harden dicalonkan semula di kerusi Simanggang pada Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
“Kami mahukan Datuk Francis sebagai calon dan tidak mahu orang lain dicalonkan di kerusi Simanggang pada PRN akan datang,” jelas mereka.
“Kami sebagai pemimpin masyarakat di sini turut kecewa terhadap tuduhan tidak berasas seorang ahli perniagaan di sini terhadap wakil rakyat kami,” tegas mereka.-Borneo Post

Post a Comment