Adenan: Rapat jurang ekonomi bandar, luar bandar


KUCHING: Kerajaan negeri komited untuk terus memberi perhatian kepada usaha merapatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata ia dibuktikan dengan tambahan RM500 juta kepada Bajet Negeri 2015 yang telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April 2015.
“Penambahan Bajet Negeri 2015 adalah bertujuan melaksanakan pelbagai projek prasarana dan kemudahan di kawasan luar bandar demi manfaat dan keselesaan masyarakat kita yang berada jauh dari pusat bandar,” katanya.
Adenan berkata demikian dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2015, semalam.
Selain itu katanya, kerajaan negeri amat yakin Lebuh Raya Pan Borneo yang telah dilancarkan pembinaannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Mei lepas akan membawa lembaran baharu dalam sejarah pembangunan Sarawak.
Projek berfasa itu jelasnya, akan menelan belanja lebih RM10 bilion bukan sahaja berfungsi sebagai alat penghubung tetapi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di sepanjang lebuh raya itu yang dijangka siap pada 2023.
“Kita sudah menungggu lebih 50 tahun pembinaan jalan raya bertaraf lebuh raya atau highway untuk menghubungkan lebih 1,000 kilometer antara Sematan dan Lawas,” ujarnya.
Adenan memberitahu, kerajaan negeri di bawah kepimpinannya sudah mengambil banyak tindakan demi kepentingan rakyat dan Sarawak.
Katanya kerajaan bertekad menghapuskan pembalakan haram yang menyebabkan kehilangan pendapatan kepada negeri dan merosakkan hutan.
“Kita (kerajaan negeri) tidak lagi memberi permit untuk mengeluarkan balak dari hutan dan permit untuk membangunkan ladang kelapa sawit besar-besaran di tanah kerajaan sebagai langkah untuk memelihara hutan kita.
“Kadar elektrik untuk kegunaan domestik dan komersil sudah diturunkan.
“Hampir semua tol jalan raya dan jambatan sudah dihapuskan. Kadar perkhidmatan semua feri sudah diselaraskan RM1 sahaja sementara Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas perkhidmatan majlis tempatan ditanggung kerajaan negeri,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Adenan berkata beliau tidak mahu Sarawak berdepan masalah dibanjiri pendatang asing tanpa izin (PATI).
Oleh sebab itu, katanya lebih 700 PATI dari Filipina telah dihantar pulang ke negara asal mereka baru-baru ini.
“Kita juga mahu memastikan negeri ini tidak kehilangan hasil tangkapan ikannya akibat lesen nelayan yang dipajakkan kepada nelayan asing… kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.
Adenan berkata beliau yakin dapat melaksanakan banyak lagi langkah yang dapat membantu meringankan beban rakyat jika diberi peluang lagi memimpin Sarawak pada masa akan datang.
Sementara itu beliau menjemput semua rakyat negeri ini datang ke rumah terbuka Hari Raya anjurannya dan isteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Hari Raya pertama dan kedua.
“Akhir kata saya dan isteri serta seisi keluarga dengan seikhlas hati mengucapkan selamat Hari Raya Aidil-fitri. Maaf zahir dan batin kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di negeri Sarawak,” katanya- Borneo Post

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget