Perutusan Hari Raya CM Adenan Satem




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Rakyat Sarawak yang saya kasihi, 
Saudara Saudari Muslimin dan Muslimat, 
Adik Kakak yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadan yang mulia telah berlalu. Alhamdulillah! Kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan hidayat-Nya, kita dapat bersama-sama melalui bulan Ramadan dengan berpuasa dalam keadaan aman sentosa.

Kini dengan rahmat Allah Subhanahu wa Taala jua, kita berpeluang pula menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dalam suasana aman dan damai, seperti selama ini, penuh dengan semangat persaudaraan dan kasih sayang, yang merentasi perbezaan bangsa dan agama, kerana kita semua adalah anak Sarawak.

Bersempena dengan hari yang mulia ini, saya dan isteri serta seisi keluarga merafakkan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin” kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat anak Sarawak di mana sahaja saudara dan saudari berada.

Rakyat Sarawak yang saya kasihi;

Hari Raya mengajar kita erti kejayaan. Kejayaan adalah hasil dari kesabaran dan sikap tolong menolong serta pentingnya kerjasama semua pihak sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Untuk berjaya kita semua perlu bersedia untuk “susah bersama dan gembira bersama”.

Inilah jalan kehidupan yang saya fikir wajar dihayati dengan lebih mendalam oleh rakyat Sarawak yang saya kasihi. Saya tahu hal ini telah lama kita praktikkan di Bumi Kenyalang yang permai ini. Maka menjadi tugas kita semua sebagai Rakyat Ibu Pertiwi ini mempertahankannya dengan menjadikan intipati bersedia untuk “susah bersama bagi mengecap gembira bersama” dapat dijelmakan di bumi realiti.

Tiada untungnya kita berpecah belah dan mementingkan diri atau puak sendiri. Tiada gunanya kita membawa elemen luaran dari Sarawak yang boleh memecah-belahkan kita. Kita lebih tahu dan faham apa yang kita mahukan untuk negeri Sarawak yang sedang kita bangunkan ini. Sejarah Sarawak telah diwarnai dengan pelbagai kejayaan sejak semangat kesatuan menjadi pegangan semua pihak merentasi agama dan bangsa.

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar.

Terbukti Ramadan dan Syawal boleh kita kongsikan bersama dengan pelbagai agama dan bangsa. Kita mampu untuk sungkey atau berbuka puasa bersama-sama di masjid tanpa rasa kekok walaupun masjid adalah tempat suci bagi orang Islam. Semua dialu-alukan atas nama kesatuan rakyat Sarawak yang mengatasi segalanya. Bila tiba Hari Raya, maka sewajarnya ia kita raikan bersama tanpa perlu bersikap eksklusif. Sikap inklusif dalam merayakan hari perayaan adalah rahsia kestabilan Sarawak selama ini. Inilah benteng yang mesti kita pertahankan bersama!

Dalam tempoh setahun lebih saya diberi amanah menjadi Ketua Menteri banyak langkah yang telah diambil untuk kepentingan dan keselesaan rakyat kita. Saya yakin banyak lagi langkah yang boleh dilakukan untuk membantu meringkankan beban rakyat jika diberi peluang lagi untuk memimpin Negeri ini pada masa hadapan.

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Saya dan isteri akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo atau BCCK di Kuching pada hari pertama dan hari kedua Aidiliftri, bermula dari jam 10.30 pagi hingga 4.30 petang. Bagi saudara dan saudari yang berkesempatan datanglah beramai-ramai ke BCCK pada hari-hari berkenaan.

Datanglah ngabas saya, Iboh malu-malu, Iboh protokol gilak, Asal baju kacak jak

Akhir kata, saya dan isteri serta seisi keluarga dengan seikhlas hati mengucapkan “SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN” kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat Negeri Sarawak.

Sekian. Wabillahitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Adenan Satem, Jamilah & Keluarga.

-SarawakLIVE

Post a Comment

blogger
facebook

Emoticon
:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget