Perpaduan Kaum Bantu Sarawak Capai Kemajuan - Abdul Taib



KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Perpaduan dan integrasi yang mantap dalam kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama telah membawa kemajuan yang pantas kepada negeri Sarawak, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Justeru, beliau mengajak rakyat Sarawak supaya mempertahankan semangat perpaduan ini demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri itu.

Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri malam Khamis, Abdul Taib berkata banyak hasil kemajuan telah dikecapi kerana wujud perpaduan dalam kalangan orang Melayu, Cina, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu dan sebagainya.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.

Beliau berkata semangat menyambut Hari Raya tidak lagi diraikan dan diamalkan oleh umat Islam sahaja malah ia menjadi hak milik semua kaum di negeri ini.

"Hari Raya menggambarkan bukan saja hasil daripada kejayaan orang Melayu bahkan semua kaum," katanya.

Abdul Taib berkata bila orang Cina meraikan Tahun Baharu Cina dan orang Dayak meraikan Hari Gawai, orang Islam turut meraikan bersama.

"Ini sudah menjadi bentuk perpaduan rakyat Sarawak. Ini menjadi asas kita membina masyarakat baharu," katanya.

Menurutnya, semua kaum di negeri itu telah dapat melakukan pekerjaan yang diminati kerana telah dapat melengkapkan diri dengan latihan dan pelajaran yang sesuai.

"Oleh sebab itu, maka kita nampak perubahaan dalam bentuk rakyat kita hidup di negeri ini. Kebanyakan rakyat mempunyai pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi," katanya.

-- BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget