Kerjasama, perpaduan akan menangi hati rakyat


SIBU: Ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP) diminta bekerjasama, berganding bahu dan berusaha lebih gigih supaya dapat memenangi hati rakyat seterusnya membolehkan parti diterima semua masyarakat.

Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh berkata UPP merupakan sebuah parti masih baharu serta dengan permulaan baharu.

“Sebagai sebuah landasan baharu dengan permulaan baharu, sudah pasti pelbagai cabaran menanti kita di hadapan,” katanya pada perasmian pejabat UPP Bawang Assan, semalam.

Pejabat UPP Bawang Assan terletak di Jalan Merdeka, di sini merupakan pejabat ketiga di sini selepas UPP Pelawan dan Bukit Assek. Pejabat UPP Dudong dirasmikan pada 5 Julai ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili merangkap Ketua Pemuda UPP, Datuk Dr Johnycal Rayong, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu merangkap Pengerusi UPP Dudong, Datuk Tiong Thai King, dua Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling dan Pau Kiew Chuang, isteri Wong Datin Sri Pauline Leong serta yang lain.

Majlis itu turut dihadiri ahli-ahli UPP Cawangan Bawang Assan, Dudong, Pelawan, Bukit Assek, Kanowit, Bintangor dan Sarikei.

Menteri Kewangan Kedua itu berkata, cabaran menanti UPP merangkumi isu-isu dan masalah rakyat sama ada berkaitan sosial, ekonomi, politik dan lain-lain.

“Sesetengah cabaran boleh diatasi dengan mencari jalan penyelesaian dan bukannya mengelak daripada realiti. Oleh itu, kita perlu mempunyai idea dan strategi baharu bagi memberi inspirasi kepada ahli-ahli parti dan orang ramai,” jelasnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti itu memberitahu, tuntutan rakyat hari ini semakin meningkat dan UPP tidak mempunyai banyak pilihan selain berusaha keras memenuhi semua tuntutan itu.

ADUN Bawang Assan itu berkata pelbagai agenda menunggu pemimpin serta ahli-ahli UPP memerlukan semua bersatu dan komited bagi mencapai misi tersebut.

“Marilah kita semua bangkit bagi menghadapi semua cabaran ini serta juga berusaha keras bersama-sama bagi memenuhi tuntutan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wong juga mengucapkan terima kasih kepada lebih 200 ahli UPP dari kawasan tengah hadir pada majlis yang beliau sifatkan sebagai penyokong kuat parti.

“Dengan adanya sokongan semua saya percaya UPP menjadi sebuah parti kuat, utuh, bersatu padu dan berkembang maju,” jelas beliau.

- Borneo Post


Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget