SIBU: Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dr Johnical Rayong Nyipa dikekalkan sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Justeru itu, Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh mengingatkan Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Francis Harden Hollis tidak ‘mengganggu’ DUN Engkilili yang disandang oleh Dr Rayong.
“Beliau (Harden) sudah diingatkan beberapa kali sebelum ini oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) supaya tidak kacau kawasan DUN Engkilili.
“Engkilili sudah mempunyai calon sendiri iaitu Dr Rayong oleh yang demikian SUPP tidak perlu bersusah payah meletakkan calonnya di kawasan tersebut.
“UPP amat yakin Dr Rayong adalah wakil rakyat yang sesuai dan sangat relevan mempertahan kerusi DUN Engkilili pada PRN nanti,” katanya pada Mesyuarat Pemuda Pusat UPP di sini petang semalam.
Hadir sama Ketua Pemuda UPP Dr Johnical Rayong Nyipa, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Pau Kiew Chuan serta ahli-ahli exco Pemuda UPP yang lain.
Menteri Kewangan merangkap Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti itu menegaskan UPP adalah sebahagian keluarga BN melalui formula kerajaan dikenali BN-Plus.
“Ini sudah jelas seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu pada majlis di Kuching. Kita berharap tiada lagi kekeliruan di antara komponen BN,” jelasnya.
Bercakap mengenai Pemuda UPP, Wong menggesa ahli-ahli parti itu menggunakan media sosial untuk menggerakkan program ataupun aktiviti parti.
Ini kerana, penggunaan maklumat terkini adalah keperluan penting pada masa kini.
“Golongan belia kini banyak menggunakan media sosial dalam mencari maklumat. Oleh itu, saya menyarankan Pemuda UPP menggunakan media sosial menyalurkan maklumat dan info-info mengenai parti,” tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu menyifatkan peranan Pemuda UPP sangat penting dalam menentukan kejayaan parti pada masa akan datang.
Selain itu, beliau turut memberitahu UPP kini sudah mempunyai semua cawangan seluruh negeri dan menunjukkan parti itu berkembang dalam masa singkat.
“Saya berharap Pemuda UPP Pusat di bawah kepimpinan Dr Rayong akan menjadi nadi kepada parti ini pada masa akan datang,” tambahnya.
Terdahulu, Dr Rayong dalam ucapan aluannya memberitahu bahawa ahli-ahlinya akan terus berdiri teguh di belakang Wong dalam apa juga keadaan.
“Kami juga akan terus setia di belakang Ketua Menteri dan Perdana Menteri mengharungi apa juga keadaan bersama-sama dengan Wong,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment