KUCHING: Sebanyak 700 peket kurma diagihkan kepada penjaja dan pengunjung di Bazar Ramadan Taman Malihah dan Emart Matang oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Petra Jaya dan Matang kelmarin.
Menurut jurucakapnya, program itu menjadi program tahunan DAP sejak tahun 2012 di kawasan Petra Jaya.
“Kedatangan kami disambut dengan baik oleh para penjaja dan pengunjung di kedua-dua bazar tersebut.
“Program ini adalah untuk menyantuni para penjaja dan pengunjung sempena bulan Ramadan, bertemu dengan rakyat, mendengar aduan mereka dan menguatkan kehadiran DAP di kawasan majoriti Melayu,” jelasnya.
Selepas ini, Pusat Khidmat DAP Tupong mengadakan lebih banyak program seperti Program Bubur Lambuk di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tupong, Samariang dan Satok.
Jelasnya, program itu dikelolakan oleh penduduk kampung dengan bantuan DAP.
Dalam perkembangan lain, semasa program tersebut Pusat Khidmat DAP Tupong menerima cadangan penduduk Taman Malihah meminta Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengadakan pasar malam di Taman Malihah di sini.
“Memandangkan populasi penduduk di kawasan Malihah semakin bertambah dan berkembang.
“Ditambah berdekatan dengan Kampung Sejijak, Paroh, Kim Chu Shin, Sin San Tu, Kampung Kolong dan Taman Allamanda maka MPP menerima cadangan menubuhkan Pasar Malam Malihah untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat,” katanya.
Hadir sama mengagih kurma pada program tersebut ialah Ahli Parlimen Stampin Julian Tan, Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak Abdul Aziz Isa, Ketua Pemuda DAP Petra Jaya, Kelvin Sim dan Ketua Pemuda DAP Bandar Kuching, Sia Ai Kiew.-Utusan Borneo
Post a Comment