Ahmad Yakob |
TUMPAT – Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob mengingatkan pemimpin atau mana-mana ahli Pas yang terlibat dengan Gerakan Harapan Baru agar berundur secara terhormat daripada parti itu.
Pada masa sama Ahmad menegaskan, keahlian pemimpin-pemimpin terbabit di dalam Pas juga akan gugur secara automatik sekiranya mereka menyertai parti baharu yang bakal diasaskan oleh bekas Timbalan Presiden, Mohamad Sabu itu.
Beliau berkata, pendaftaran keahlian akan terbatal dengan sendiri apabila terlibat dengan sesebuah parti lain.
“Kalau mereka nak isytihar Harapan Baru, mereka terpaksa meninggalkan segala-galanya. Kena berdikari sendiri, guna cawangan sendiri, guna wang sendiri. Dalam sebuah negara yang demokrasi, kita mengalu-alukan (penubuhan Harapan Baru), tapi jangan berada dalam Pas.
“Tidak boleh hidup dua alam (Pas dan Harapan Baru), sebab kita menghormati demokrasi, sesiapa pun boleh membentuk parti. Kalau mereka tubuh parti baharu, kita hormati, kita bertanding bersama. Kita ada pertandingan (pilihan raya) kita bertanding,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian selepas majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Wakaf Bharu di sini hari ini.
Isnin lalu Mohamad Sabu mengumumkan bakal menubuhkan parti politik baharu yang bakal dianggotai pemimpin yang kecundang dalam pemilihan Pas pada 4 Jun lalu itu.
Kelompok pemimpin yang tewas itu akan mengadakan siri jelajah Gerakan Harapan Baru yang pertama bermula di negeri ini esok.
Sementara itu, ditanya mengenai tindakan disiplin yang bakal dikenakan terhadap beberapa pemimpin Pas yang menyertai Harapan Baru itu, Ahmad berkata, parti itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Setakat ini kita bagi (peluang). Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) belum ambil apa-apa tindakan. Kita tengok dahulu keadaan. Mungkin itu satu cara yang diambil Presiden, tidak gopoh (dalam mengenakan tindakan),” katanya.
- Utusan Online
Post a Comment