ABDUL KARIM |
KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka akan terus menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan majoriti dua pertiga, dengan atau tanpa 11 kerusi baharu.
Menurut Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, bagaimanapun 11 kerusi baharu itu akan memberi ruang kepada Ketua Menteri yang juga pengerusi BN Sarawak untuk mengendalikan permasalahan (patch up) parti-parti komponen dan serpihannya.
“Tanpa 11 kerusi baharu itu, kita tetap akan menang besar manakala dengan kewujudan kerusi baharu, kita mungkin kalah di satu atau dua kerusi…ia tidak akan menjadi milik kita 100 peratus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Jalan Astana, Petra Jaya, di sini, semalam.
Abdul Karim yang juga ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, keputusan sama ada 11 kerusi baharu itu diluluskan akan diketahui tidak lama lagi.
“Sekiranya kita menang dalam rayuan, maka kita ada 11 kerusi tambahan. Tetapi jika rayuan ditolak, maka kita kekal dengan 71 kerusi negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut melahirkan keyakinan bahwa BN Sarawak akan dapat merampas kembali kerusi Dudong, Meradong, Ba’Kelalan dan Krian daripada pembangkang pada PRN akan datang.
Menurutnya, kerusi-kerusi yang dirampas pembangkang pada pilihan raya lalu rata-rata disebabkan perbalahan dalam parti.
“Jangan terkejut jika kami berjaya merampas kembali kesemua kerusi tersebut. Saya rasa DAP (Parti Tindakan Demokratik) juga menyedari perkara ini,” katanya.
Ditanya bila PRN Ke-11 dijangka akan diadakan, Abdul Karim berpendapat ia berkemungkinan diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan kerana tidak mungkin Ketua Menteri akan membiarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik pada 20 Jun 2016.
Di bawah Akta Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya terpaksa membubarkan DUN secara automatik pada 20 Jun dan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.
“Saya tidak rasa Ketua Menteri akan membiarkan ia terbubar secara automatik.
“Ia tidak baik dan tidak ada pemimpin yang mahu ia berlaku sedemikian kerana jika sesuatu berlaku maka anda tidak mempunyai cara untuk menggerakkan strategi anda,” katanya.
- Borneo Post Online
- Borneo Post Online
Post a Comment