AirAsia keluarkan nasihat perjalanan



KUALA LUMPUR 12 Julai – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dan AirAsia X mengalakkan penumpang yang akan menggunakan perkhidmatannya sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini supaya melakukan daftar masuk sendiri dan tiba lebih awal di lapangan terbang bagi melepasi kesemua formaliti penerbangan bagi mengelakkan kesesakan yang dijangka akan berlaku.

Menurut syarikat itu, penumpang disarankan tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas bagi penerbangan AirAsia dan empat jam sebelum bagi penerbangan AirAsia X.

Jelas syarikat itu lagi, bagi setiap penerbangan pelanggan boleh melakukan pendaftaran masuk sendiri sama ada melalui laman web, mudah alih atau kiosk daftar masuk.

“Daftar masuk web, mudah alih atau kiosk tersedia bermula seawal dari 14 hari hingga satu jam sebelum waktu berlepas bagi kesemua penerbangan AirAsia, dan sehingga empat jam sebelum pelepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia X.

“Tetamu juga diminta siap mencetak pas masuk mereka sebelum tiba di lapangan terbang bagi memudahkan proses perjalanan,” menurut syarikat penerbangan itu di dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah syarikat itu lagi, penumpang yang membawa bagasi untuk didaftar masuk, kaunter bagasi tutup 60 minit sebelum waktu pelepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

“Kesesakan juga dijangka akan berlaku di kaunter mengimbas bagasi, dan di kaunter imigresen semasa musim cuti ini, adalah dinasihatkan bagi melengkapkan proses daftar masuk bagasi dan terus ke pintu pelepasan seawal yang mungkin,” jelas syarikat itu.

Jelas syarikat penerbangan itu lagi, penumpang dengan tempahan secara berkumpulan, kekurangan kebolehan bergerak atau memerlukan bantuan istimewa hanya boleh mendaftar masuk menerusi kaunter dan perlu hadir lebih awal bagi menyelesaikan semua formaliti perjalanan.

“Kakitangan AirAsia bersiap sedia di lapangan terbang bagi membantu kesemua tetamu dengan keperluan perjalanan mereka dan bagi memastikan perjalanan yang baik sepanjang tempoh sambutan perayaan,” katanya.

Syarikat itu juga menasihatkan penumpang untuk melakukan tempahan makanan secara atas talian bagi kemudahan mereka.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget