KKLW bincang masalah air Pulau Bruit



KANOWIT: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berbincang bagi menyelesaikan masalah air di Pulau Bruit.

Timbalan Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ia bagi menyambung bekalan air dari Sibu ke pulau berkenaan.

“Ini adalah untuk mengatasi masalah tangki air besar tempat simpanan air di Pulau Bruit yang runtuh baru-baru ini.

“KKLW menyelesaikan masalah tersebut dengan secepat mungkin bagi keselesaan rakyat di situ,” katanya ditemui ketika melawat mangsa kebakaran Rumah Meruan di Skim Penempatan Semula Nanga Tada di sini semalam.

Menurutnya, untuk menaik taraf semula tangki terbabit mungkin mengambil masa enam hingga lapan bulan.

“Justeru, KKLW mengadakan mesyuarat mencari penyelesaian dengan menyambung bekalan air ke tempat dekat iaitu dari Sibu ke Pulau Bruit,” jelasnya.

Katanya bila kerja-kerja penyaluran paip air siap di kawasan tersebut, Pulau Bruit mungkin tidak menghadapi masalah air lagi kerana mempunyai bekalan cukup dari Sibu.

“Masalah tekanan air juga mungkin kurang sekiranya kerja-kerja itu siap. Ini lebih baik jika kita menaik taraf tangki simpanan air yang memakan masa lama,” jelasnya.

Bercakap mengenai kes tangki air di Pulau Bruit yang runtuh, beliau berkata: “Ia mungkin disebabkan masalah teknikal.

“Jika disebabkan masalah teknikal atau reka bentuk tangki tidak tahan lama, orang ramai khususnya penduduk di Pulau Bruit tidak boleh menyalahkan KKLW.

“KKLW dan kerajaan pusat hanya mengeluarkan peruntukan untuk meluluskan projek tersebut.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor adalah penyelia projek dan mereka adalah orang Sarawak sendiri,” katanya sambil memberitahu bahawa projek itu antara projek terbesar di negeri ini dalam menyediakan bekalan air di Sarawak.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahkan KKLW berikutan tangki runtuh di Pulau Bruit itu.

“Diharap orang ramai jangan terlalu menuding jari kepada kami dan apa yang penting masalah rakyat di Pulau Bruit harus kita selesaikan.

“KKLW tidak menyalahkan sesiapa tetapi mengambil serius masalah ini lebih-lebih lagi melibatkan rakyat,” katanya.

- Borneo Post Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget