KUCHING: Kerajaan tidak pernah hilang daripada menunaikan tanggungjawab membantu rakyat khasnya mereka yang ditimpa musibah.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, kerajaan sentiasa ada bersama sewaktu rakyat memerlukan pertolongan.
“Kita lihat insiden yang menimpa kampung ini, banyak agensi kerajaan tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan. Kerajaan tampil membantu di saat anda memerlukan pertolongan, menunjukkan kami sentiasa bersama anda tanpa mengira masa apatah lagi di waktu kesusahan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Dewan Masyarakat Kampung Tabuan Haji Drahman di sini, semalam.
Justeru, Asfia berharap mangsa kebakaran tidak keberatan untuk menerima bantuan dan sumbangan daripada pihak kerajaan.
“Sedih saya mendengar berita mengenai kejadian yamg meragut tiga nyawa penduduk di sini, saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya lagi.
Goh Choon Lian, 52, antara 11 keluarga yang terlibat dalam insiden kebakaran di Kampung Tabuan Haji Drahman berkata, bantuan yang dihulurkan itu dapat mengubat kesedihan dan beban mereka.
“Bantuan yang diberikan ini banyak meringankan beban kami dan mengubat kedukaan kami kerana semua barang telah musnah dalam kebakaran itu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan mereka yang telah sudi menghulurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, dua adik-beradik, Nur Ain Mohd Hazmi, 8, dan Nur Alieya, 7, yang merupakan anak kepada Allahyarhamah Anisa Ramblee yang meninggal dunia dalam insiden kebakaran itu diletakkan di bawah penjagaan ibu saudara mereka, Aishah Ramblee, 32, (kakak kepada arwah).
“Mengenai penjagaan kedua-dua anak mangsa, ahli keluarga telah berbincang dan mereka bersetuju untuk menjaga sendiri anak-anak ini jadi tidak timbul masalah berkaitan penjagaan mereka.
“Mereka juga akan dipantau dari masa ke masa termasuk dari segi kebajikan serta persekolahan mereka,” katanya sambil menambah bahawa Yayasan Sarawak menyediakan bantuan dalam pendidikan kepada dua kanak-kanak itu sehingga mereka tamat persekolahan.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi pada Rabu lepas, Alieya dan Ain bukan sahaja kehilangan ibu mereka malah kejadian yang menyayat hati itu turut mengorbankan dua adik mereka yang lain iaitu Norshaza dan Siti Nordiana masing-masing berusia lima dan tiga tahun.-utusan borneo
Post a Comment