Minos Optimis TERAS Diterima Sertai BN Sarawak

KUCHING, 21 Mei (Bernama)-- Meskipun terdapat bantahan daripada beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, seorang penganalisis politik yakin Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) akan diterima menyertai BN.

Bekas Timbalan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos bersetuju dengan pendapat bahawa kepimpinan BN melihat parti baharu itu sebagai penyelesaian terhadap persengketaan dua parti komponen BN negeri sejak sekian lama.

"Mungkin ada pendekatan 'buang yang keruh ambil yang jernih'. Pemimpin BN mungkin boleh mengambil beberapa langkah ke arah perdamaian dan memujuk mereka yang tidak berpuas hati dengan parti politik baharu ini," kata ahli politik veteran berusia 65 tahun berbangsa Bidayuh itu.

Bekas Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan bersama sembilan wakil rakyat BN dan seorang wakil rakyat pembangkang yang menyertai TERAS pada Jumaat lepas, mengisytiharkan bahawa parti itu menyokong BN.

Turut menyertai TERAS ialah lima bekas anggota SPDP iaitu Anggota Parlimen Baram Anyie Ngau dan empat ADUN iaitu Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi), Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).

Wakil daripada SUPP ialah bekas pengerusi Bahagian Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan, serta Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) dan Johnicol Rayong (Engkilili).

ADUN Pelagus George Lagong dari SWP juga keluar daripada parti pembangkang itu untuk menyertai TERAS.

Bagaimanapun, hasrat TERAS menyertai BN dibantah beberapa parti komponen terutama SPDP, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Minos berkata berdasarkan fakta, terdapat 11 wakil rakyat dalam TERAS yang terdiri daripada 10 yang dipilih atas tiket BN dengan dua daripada mereka menteri kanan manakala empat adalah menteri muda.

"Saya berpendapat perkara ini adalah jelas - mereka adalah orang BN dan masih mahu menyokong parti gabungan itu.

"Sejarah menjadi panduan kerana apabila kita imbas kembali, sebelum 1971, SUPP adalah parti pembangkang dan SPDP ditubuhkan daripada pembubaran Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang juga pembangkang," katanya.

Oleh itu, katanya pemimpin BN hanya sekadar mengambil langkah realistik dan praktikal.

Sementara itu, Mawan berkata TERAS harus dibenar untuk terus berkhidmat kepada rakyat tanpa gangguan politik.

Meskipun terdapat beberapa parti komponen yang membantah hasrat TERAS untuk menyertai BN, beliau tetap mengharapkan pengertian mereka.

Bercakap kepada pemberita di sini, Rabu, Mawan berkata sepatutnya ada fleksibiliti atau pengecualian yang boleh diguna pakai bagi membolehkan mereka menyertai BN demi kepentingan rakyat.

"Kami tahu ada yang tidak berpuas hati dengan kami (hasrat TERAS untuk menyertai BN) namun mereka perlu memahami situasi kami... kami tidak mempunyai pilihan dan kami tidak boleh berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan jika kami sentiasa diganggu seperti ini," katanya.

Mawan, yang juga menteri kanan dalam Kabinet Sarawak, berkata meskipun meninggalkan parti asal secara beramai-ramai, mereka tidak pernah mengkritik BN dan telah melakukan pengorbanan dengan meninggalkan persengketaan politik yang berlaku dalam parti asal bagi menumpukan perhatian untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Terlalu banyak persengketaan dalam kalangan kita dan tidak ada satupun jawapan atau penyelesaian kepada kesusahan rakyat. Masih ramai yang memerlukan bantuan di luar sana, masih banyak perkara yang belum selesai.

"Kita perlu melakukan lebih banyak lagi... dan bukannya untuk kepentingan sendiri," katanya.
- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget