Henti Bergaduh Pasal Kerusi - Nansian

BAU: Jurucakap Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Datuk Peter Nansian Ngusie meminta semua parti komponen Barisan Nasional (BN) berhenti bergaduh mengenai perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Majlis Daerah Bau di sini semalam, Nansian yang keluar dari Parti Demokratik Progesif Sarawak  (SPDP) dan menyertai TERAS berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai kerusi.

Ini kerana menurut Nansian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, rakan-rakan parti komponen BN harus memahami sistem BN di mana semua kerusi adalah milik BN dan bukan milik individu atau parti tertentu.

“Semua kerusi adalah milik BN dan BN sebagai parti induk mempunyai keistimewaan untuk memperuntukkan kerusi kepada mana-mana individu atau parti yang diyakini mampu menjaganya dengan baik.

“Ia ibarat saya kini mempunyai sebatang pen dan terpulang kepada saya untuk menyerahkan kepada salah seorang daripada anda untuk menjaganya. Jika anda akan menghilangkan pen ini mengapa perlu saya berikan kepada anda,” ujar Nansian.

“Jangan fikir bahawa kami mahu menjadi perangkap kepada mana-mana parti. Tidak perlu bercakap mengenai kerusi kerana ia milik BN dan mengapa kita perlu bergaduh mengenainya,” ujar Nansian.

Mengulas mengenai pandangan beberapa pihak yang menganggap tindakan Nansian dan sembilan lagi wakil rakyat dari SPDP dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar parti dan menyertai TERAS tidak lagi BN, Nansian nyata tidak setuju dengan anggapan itu.

“Komen saya adalah berdasarkan tindakan dan bukan perkataan. Anda lihat kami masih berkhidmat sebagai wakil rakyat BN dan masih berkhidmat sebagai menteri dalam kerajaan BN.

“Secara amalannya, kami masih lagi wakil rakyat dan menteri di bawah BN dan kami tidak pernah meninggalkan BN melainkan parti yang tidak lagi mahukan kami.

“Mereka sepatutnya gembira dengan ketiadaan kami kerana mereka telah dapat apa yang mereka mahu. Anda mahu parti jadi kami berikan kepada anda,” tambahnya.

Ditanya mengenai barisan kepimpinan TERAS yang bakal dibentuk, Nansian berkata ia telah dibincangkan secara dalaman, namun enggan mendedahkannya sehingga sampai waktu yang sesuai.

Susulan itu, Parti TERAS dijangka akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama dalam tempoh terdekat, mungkin dalam minggu ini bagi membentuk jawatankuasa baharu serta membincangkan penubuhan pejabat milik parti di Bandar Baru Batu Kawa (MJC). -utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget