KUCHING: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam memutuskan untuk mengusir Dato Sri Wong Soon Koh daripada parti berkuat kuasa pada hari beliau mengumumkan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), 15 Mei lepas.
Pada mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti semalam, CWC yang dipengerusikan oleh Presidennya Tan Sri Peter Chin turut mendesak bekas pengerusi SUPP Cawangan Sibu itu meletak jawatan sebagai ADUN Bawang Assan dan menteri kabinet kerana mengkhianati parti.
Mesyuarat yang berlangsung hampir tiga jam itu semalam turut memutuskan menolak sebarang permohonan oleh TERAS untuk diterima sebagai parti komponen BN mahupun menerusi formula BN-Plus.
“Saya tidak fikir TERAS akan menyertai BN kerana jika anda melihat kepada perlembagaan BN, jika anda tidak mendapat restu daripada setiap pemimpin BN maka anda tidak boleh menyertai BN.
“Menerusi penilaian saya daripada laporan-laporan akhbar, lapan parti BN telah memberi pandangan yang hambar mengenai penerimaan TERAS dalam BN kerana terdapat barisan yang panjang untuk menyertai BN.
“Jika ada parti yang tidak bersetuju maka kita perlu tolak, tolak dan tolak,” katanya yang ditemui selepas Mesyuarat Tergempar CWC diikuti taklimat bersama pemimpin-pemimpin SUPP bagi menjelaskan perkara ini.
Chin semalam turut menyangkal bahawa Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang juga pengerusi BN telah menyatakan persetujuan untuk menerima masuk TERAS sebagai komponen BN menerusi formula BN-Plus.
“Tan Sri Adenan tidak pernah berkata demikian. Siapa yang memberitahu beliau berkata demikian? Beliau hanya menyambut baik kunjungan hormat daripada kumpulan tersebut yang mahu menyatakan sokongan mereka terhadap beliau dan BN.
“Tiada yang salah dengan itu. Tetapi beliau tidak pernah memberitahu bahawa beliau menerima TERAS dalam BN. Ini yang beliau beritahu saya dan yang saya faham daripada beliau,” ujar Chin dalam nada yang agak nyaring.
Ditanya adakah SUPP akan berjumpa dengan Ketua Menteri mahupun Perdana Menteri selepas ini, Chin berkata beliau telah berjumpa dengan Adenan kelmarin namun enggan mendedahkan isi perbincangan antara mereka.
Sama ada beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri atau tidak bagi membincangkan perkara ini, Chin memberitahu bahawa beliau tiada masalah untuk itu jika Perdana Menteri mahukan penjelasan lanjut mengenai isu ini.
“Saya pasti beliau telah diberi taklimat oleh Setiausaha Politiknya setiap masa mengenai apa yang berlaku di Sarawak tetapi jika Perdana Menteri mahu penjelasan lanjut daripada kami sudah pasti kami gembira untuk berbuat demikian,” tambahnya.
Perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat itu semalam termasuk untuk mendapatkan penjelasan daripada tiga lagi pemimpin SUPP iaitu Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnical Rayong Ngipa sama ada mereka menyertai TERAS atau tidak.
CWC turut bertegas akan menuntut semua 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada SUPP.
Pada masa sama, SUPP juga akan bekerjasama dengan ahli-ahli jawatankuasa SUPP Cawangan Sibu yang masih kekal, ahli-ahli jawatankuasa Wanita dan Pemuda dan ahli-ahli SUPP bagi memastikan SUPP Cawangan Sibu berfungsi seperti biasa dan terus menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.- utusan borneo
Post a Comment