Wartawan Malaysia-Indonesia Perlu Semai Rasa Kekitaan - Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Wartawan Malaysia dan Indonesia perlu memainkan peranan menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat kedua-dua negara bagi meningkatkan persefahaman dan saling menghormati sebagai masyarakat serumpun.

Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata untuk itu, wartawan perlu bertanggungjawab menyediakan laporan tepat kerana pemahaman terhadap perkembangan seni budaya dan bangsa adalah landasan kepada pembentukan ketamadunan yang tinggi.

"Wartawan harus menyemai perasaan kekitaan lebih daripada perbezaan. Mengenai soal budaya, kita tidak boleh menuntut budaya itu seolah-olah peribadi kita...ini kepunyaan transmigrasi bangsa.

"Apa yang harus kita perjuangkan ialah nusantara dan sosiobudaya supaya terus dapat dimanfaat oleh semua pihak dan jika ada perbezaan, kita ambil dan bawa ke meja perundingan," katanya.

Rais, yang juga Pengasas Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (Yirmi), berkata demikian kepada pemberita selepas merai ketibaan lapan wartawan Indonesia ke negara ini bagi mengikuti Program Lawatan Pertukaran Wartawan Malaysia-Indonesia anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) dan Yirmi di sini Ahad malam.

Rombongan itu terdiri daripada wartawan Redaksi Harian WASPADA H. Sofian Harahap, Sinar Baskaro (GM Kompas TV), Herwanto (GM KOmpas TV), Wahyu Setya Darmawan (Harian Radar Surabaya), Eriandi (Harian Singgalang), Joko Pambudi (Harian Umum Pikiran Rakyat), Harry Prihanto Said (Banjarmasin Post) dan Basri Abbas Djide dari Harian Fajar.

Program enam hari itu, antara lain, bertujuan mewujudkan persahabatan dan persefahaman antara pengamal media selain langkah proaktif bagi memperkukuh hubungan rakyat kedua-dua negara.

Rombongan itu akan dibawa meninjau dan melihat sendiri kehidupan harmoni masyarakat Jawa, Bugis, Banjar, Mandailing dan lain-lain di sekitar Perak, Selangor dan Kuala Lumpur selain pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Mereka juga dijadual mengadakan kembara jejak warga Indonesia di sekitar Jalan Chow Kit dan Keramat selain membuat kunjungan hormat ke Kedutaan Republik Indonesia di sini.

Melalui program ini, Rais berharap wartawan Indonesia akan dapat merasai dan melihat perkembangan sosiobudaya Malaysia dari kaca mata mereka sendiri sekali gus menulis berkaitan pengalaman mereka di media masing-masing.
- BERNAMA

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget