Bomba Cadang Tambah Dua Helikopter di Sabah dan Sarawak

KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bercadang menambah dua lagi helikopter untuk operasinya di Sabah dan Sarawak, kata Ketua Pengarah Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata pihaknya sudah memohon kepada kerajaan bagi merealisasikan cadangan itu.

Setakat ini JBPM mempunyai dua helikopter jenis MI-17 yang ditempatkan sementara di Miri, Sarawak memandangkan JBPM masih dalam proses mendapatkan tapak sesuai untuk pembinaan pangkalan di Kuching dan Kota Kinabalu, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat Sarawak, di sini Khamis.

Menurutnya JBPM Sarawak juga bakal menerima jentera pengendalian bahan berbahaya kedua bernilai kira-kira RM4 juta yang akan ditempatkan di bandar Bintulu.

Wan Mohd Nor berkata kerajaan juga telah meluluskan cadangan pembinaan dua buah balai bomba baharu, masing-masing di Samalaju berdekatan Bintulu dan di Tanjung Manis, Mukah yang telah dikenal pasti sebagai kawasan perindustrian di negeri ini.

Setakat ini Sarawak mempunyai 27 balai bomba namun jumlah itu dilihat masih belum mencukupi bagi memberi perkhidmatan yang berkesan untuk negeri berkeluasan hampir sama dengan Semenanjung Malaysia, katanya.

Menurutnya konsep pasukan bomba bantuan yang mengadunkan keanggotaan penjawat tetap JBPM dan anggota masyarakat yang diberi elaun bertugas, akan diperluaskan ke negeri ini bagi menangani kekangan semasa beroperasi.

Katanya sebanyak 15 pasukan seumpama itu dengan 20 anggota masing-masing akan ditubuhkan di Sarawak bermula tahun ini.

Sarawak juga mempunyai 35 pasukan sukarelawan bomba yang diwujudkan di kawasan-kawasan pedalaman negeri itu dan keupayaan operasi mereka sentiasa dipantau dan dipertingkat dari semasa ke semasa, katanya.- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget