Ikan Kecil Melompat Ke Darat

KUALA TERENGGANU - Pemilik kolam pancing air masin, Ibai Fishing Park, terpaksa menanggung kerugian hampir RM35,000 apabila ikan di dalam tiga sangkar itu mati dipercayai diracun.

Lebih memeritkan, kejadian melibatkan kawasan kolam sepanjang 300 meter yang menempatkan lebih 300 ekor ikan jenis siakap putih, siakap merah dan kerapu itu menyebabkan kolam pancing air masin terbesar di Kuala Terengganu itu terpaksa ditutup kepada orang ramai buat sementara waktu.

Menurut penyelianya, Mohamed Nor Mohd Anwar, kejadian itu disedari pelanggannya pada malam Sabtu lalu kira-kira 12.30 tengah malam, apabila mendapati kebanyakan ikan kecil termasuk udang melompat ke darat.

“Pada mulanya kami hanya memerhati sahaja kejadian itu kerana masing-masing membuat andaian akan berlaku bencana alam seperti tsunami dan sebagainya, tetapi semakin lama semakin banyak ikan melompat ke darat.

“Masa kejadian itu berlaku, saya ada juga pergi menjenguk ikan di dalam tiga sangkar ini dan keadaannya masih elok sehinggalah lebih kurang pukul 4.30 pagi, ikan-ikan ini timbul di permukaan air,” ceritanya kepada Sinar Harian berhubung kejadian itu.

Pada waktu sama, Mohamed bersama beberapa lagi rakan pancing yang masih berada di situ bertindak mengutip ikan yang masih hidup dan dikumpulkan di satu sudut.

Namun, setelah semuanya selesai, mereka mendapati kesemua ikan di dalam sangkar termasuk ikan liar yang turut berada berhampiran kolam pancing mati.

Pada keesokannya (Ahad), Mohamed bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Chendering sebelum kes itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan diserahkan kepada bahagian jenayah.

“Secara peribadi, saya mengesyaki sesuatu yang pelik berlaku seperti perbuatan khianat yang menyebabkan ikan ini mati seperti terkena racun. Tetapi buat masa ini saya menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis dan juga Jabatan Perikanan Negeri.

“Mereka (polis dan jabatan perikanan) pun sudah datang melihat kolam pancing ini dan mengambil beberapa sampel yang mungkin dapat membantu mencari punca sebenar kejadian ini.

“Pada peringkat awal saya difahamkan oleh jabatan perikanan bahawa kes ini tidak mempunyai kaitan dengan perubahan semula jadi air, tetapi mungkin ada punca lain yang menyebabkan kesemua ikan itu mati,” jelasnya.

Mohamed memberitahu dia kesal dengan apa yang berlaku kerana ikan seberat tujuh hingga lapan kilogram mati begitu sahaja.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengusaha kolam pancing air masin itu sebaik sahaja kualiti air disahkan selamat digunakan sebelum memasukkan ikan baharu.-sinar harian
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget