Penindasan Terhadap Sesuatu Kaum Tidak Pernah Berlaku Di Sarawak

KUCHING: Penindasan terhadap sesuatu kaum tidak pernah berlaku di Sarawak kerana setiap lapisan masyarakat diberi keistimewaan yang sama rata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, kaum minoriti di negeri ini juga tidak pernah dipinggirkan sebaliknya sentiasa mendapat ruang dan peluang daripada kerajaan.

Menurutnya, setiap kaum di negeri ini saling memerlukan antara satu sama lain selain mengamalkan sikap saling hormat- menghormati demi memperkukuhkan perpaduan.

“Kaum minoriti di negeri ini dapat bekerjasama dengan kaum lain yang lebih ramai bilangannya.

“Keadaan ini disebabkan setiap kaum mengamalkan sikap saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-65 Persatuan India Kuching (IAK) di sini, malam kelmarin.

Nancy menjelaskan, setiap kaum di negeri ini juga percaya dengan perpaduan yang dapat menjadikan kehidupan aman dan sejahtera.

Malah menurutnya, Sarawak juga menjadi negeri contoh kepada gagasan 1Malaysia kerana rakyat berbilang kaumnya tidak bertelagah sebaliknya mengutamakan perpaduan.

“Kita patut berasa bangga sebagai anak Sarawak. Biarpun kita berbeza dari segi kepercayaan namun kita dapat hidup bersama.

“Hubungan baik seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan menjadi warisan anak cucu kita nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Ahli Parlimen Batang Sadong itu memuji perpaduan ditunjukkan komuniti India di negeri ini sehingga membolehkan mereka memiliki bangunan sendiri.

Hadir sama Presiden IAK Anthony Ramanair Presiden Sri Maha Mariamman Temple Penghulu T. Komurusamy dan Presiden Persatuan Kuil Hindu S.Naniapen. -utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget