Anugerah Sukan Negara 2013: Sazali, Nicol Dinobat Olahragawan Dan Olahragawati

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Jaguh bina badan Sazali Abd Samad dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara 2013 malam ini.

Anugerah termasuk piala dan wang tunai RM20,000 untuk setiap pemenang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.

gambar dari myMetro
 Ini kali ketiga Sazali menerima anugerah itu, pertama pada 2006 kedua 2010.

Antara kejayaan Sazali, 45, ialah merangkul emas pada Kejohanan Bina Badan World Bodybuilding and Physique Federation (WBPF) di Hungary tahun lepas serta menyumbang perak dalam acara di bawah kategori 70kg (Light Weight) pada temasya Sukan SEA Myanmar, Disember lepas.

Bagi Nicol yang baru menjuarai Terbuka British buat kali kelima pada Ahad, ini kali kesembilan beliau menerima anugerah itu - pertama kali pada 1999, kemudian 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010.

Turut dinobatkan ialah Muhammad Ziyad Zolkefli dan Hemala Devi Enikutty yang menerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Muhammad Ziyad, 24, meraih emas acara lontar peluru kategori F20 lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) 2013 di Lyon, Perancis.

Hemala Devi memperoleh pingat emas acara lempar cakera, lontar peluru dan merejam lembing pada Sukan Para Asia di Myanmar tahun lepas.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa komited terhadap usaha memajukan sukan kerana ia boleh mengharumkan nama negara selain menjadi wadah terbaik untuk penyatuan pelbagai kaum, bangsa dan agama.

Selain itu, beliau berharap pihak berkenaan bekerjasama erat dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar selain mengelak pergeseran kepimpinan.

"Diharap persatuan sukan kebangsaan selaku pengendali, pentadbir dan pemacu sukan bergerak dan bertindak secara profesional dengan komitmen tinggi bagi memajukan sukan negara," kata Muhyiddin.

Menurutnya, jika pemikiran pemimpin sukan masih di takuk lama, ia akan hanya membantut usaha kerajaan untuk memastikan sukan negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Muhyiddin berharap persatuan-persatuan sukan kebangsaan menyahut cabaran untuk bangkit dan bergerak aktif dalam mencari dana menerusi penajaan selain membangunkan sukan secara lebih efisyen dengan program pembangunan yang jitu.



SENARAI PENERIMA ANUGERAH:

1. Olahragawan Kebangsaan: Sazali Abd Samad

2. Olahragawati Kebangsaan: Datuk Nicol Ann David

3. Pasukan Lelaki Kebangsaan: Skuad Hoki Remaja Kebangsaan - Faiz Helmi Jali, Joel Samuel Van Huizen, Kavin Kartik Govindasamy, Meor Muhamed Azuan Hasan, Mohd Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin, Mohamad Syamim Mohd Yusof, Mohd Fitri Saari, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar, Mohd Zulhairi Hashim, Muhamad Hafiz Zainol, Mohamad Azri Hassan, Muhammad Firhan Ashari, Muhammad Hafizuddin Othman, Muhammad Haziq Samsul, Muhammad Rashid Baharom, Muhammad Shahril Saabah, Shazril Irwan Nazli.

4. Pasukan Wanita Kebangsaan: Akuatik Terjun - Pandalela Rinong, Leong Mun Yee.

5. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Muhammad Ziyad Zolkefli

6. Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Hemala Devi Enikutty

7. Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Muhammad Dharma Raj Abdullah (Hoki)

8. Anugerah Kepimpinan Sukan: Laksamana (Bersara) Datuk Seri Mohd Anwar Mohd Nor (Golf)

9. Anugerah Khas 2013: Allahyarham Mohd Nazar Abdul Rahim (Olahraga); Moe Chin Kiat (Badminton).
- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget