Projek Jalan Kanowit-Kapit Bermula Sejurus Selepas Tender Dikeluarkan

KUCHING: Pembinaan projek Jalan Kanowit-Kapit yang menelan kos RM700 juta akan dimulakan sejurus selepas Kementerian Kewangan mengeluarkan tender, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Bercakap kepada wakil media selepas mempengerusikan sidang media di sini semalam, beliau memberitahu kos RM700 juta itu merangkumi pembinaan beberapa jambatan di sepanjang laluan tersebut.

“Jika tiada masalah projek ini akan dilaksanakan sebaik tender dikeluarkan kerana peruntukan bagi tujuan itu sudah ada. Sekarang kita masih menunggu tender dikeluarkan dan ia sepatutnya siap pada 2017,” jelasnya.

Beliau menambah, apabila projek itu siap nanti ia akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan sekali gus mengurangkan pergantungan terhadap pengangkutan air.

Menyentuh mengenai isu perkhidmatan pengangkutan bas awam di bandar raya Kuching, Manyin memberitahu ia dijangka selesai selewat-lewatnya hujung tahun ini apabila Projek Menaik Taraf Bas Komuter beroperasi sepenuhnya.

“Saya percaya Kuching akan menikmati perkhidmatan bas awam yang lebih baik, mungkin pada penghujung tahun ini atau lebih awal September. Ini kerana Kuching dipilih antara tujuh bandar di Malaysia melaksanakan projek itu di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya.

Di bawah projek itu, jelasnya, operator bas akan diberi subsidi bagi setiap kilometer perjalanan sama ada ia membawa penumpang penuh atau sebaliknya.

Tambahnya, ketika ini kerajaan persekutuan menerusi SPAD dalam proses rundingan mengenai kadar subdisi diberikan kepada operator bas.

Menurutnya ketika ini banyak operator bas tidak mahu ke lokasi tertentu kerana tidak cukup penumpang bagi mengelak kerugian.

“Menerusi projek ini nanti masalah itu akan selesai dengan jaminan frekuensi perjalanan bas bertambah serta mengikut jadual, tetapi pada masa ke semasa pihak berkuasa tempatan akan menyediakan kemudahan sokongan seperti perhentian bas serta laluan khas bas untuk melancarkan lagi perkhidmatan diberikan,” katanya. utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget