Kerajaan Serius Lindungi Hak Pemilik NCR - Awang Tengah

KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan mengukur lot-lot individu di kawasan yang diwartakan sebagai rizab gunasama bumiputera di seluruh negeri tahun ini, bagi membolehkan pihak-pihak yang menuntut tanah itu mendapat surat hak milik mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Menteri Pembangunan Industri Negeri Datuk Awang Tengah Ali Hasan berkata usaha gigih jabatan itu membuktikan kerajaan negeri serius memberi perlindungan terhadap hak pihak yang menuntut tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

Beliau berkata rakyat perlu faham bahawa kerajaan negeri sedia membuat pertimbangan kepada kes-kes yang sahih untuk memberi pengiktirafan menerusi proses yang menepati Kanun Tanah Negeri.

Katanya kerajaan negeri tidak pernah berniat merampas tanah mana-mana pihak lebih-lebih lagi tanah NCR milik sesuatu komuniti.

"Di sini saya ingin menyeru kakitangan Jabatan Tanah dan Survei supaya menggiatkan lagi usaha meningkatkan inovasi dan integriti untuk membantu jabatan menghadapi tugas dan harapan rakyat yang semakin mencabar," katanya semasa merasmikan Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di sini, Rabu.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 menyatakan prestasi keseluruhan urusan pengambilan balik tanah NCR yang dikeluarkan surat hak milik oleh kerajaan negeri Sarawak mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak sebagai memuaskan.

Laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat bulan lepas menyatakan setakat September lepas, sebanyak 290,626 hektar daripada 1.63 juta hektar tanah NCR sudah diberi hak milik.

Bagi tempoh 2011 sehingga September lepas, sebanyak 476.61 hektar tanah NCR diambil balik kerajaan bagi tujuan pembangunan yang melibatkan 157 projek dengan kos pengambilan balik tanah berjumlah RM322.22 juta.- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget