Raja Nazrin Diisytihar Sultan Perak Yang Baharu

KUALA KANGSAR, 29 Mei (Bernama) -- Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah pada Khamis diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35 dalam istiadat pengisyitharan pelantikan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin membuat pengumuman itu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, pada pukul 3.15 petang.



Raja Nazrin, 58, kini dikenali sebagai Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sultan Nazrin, yang merupakan putera sulung Sultan Azlan Shah, menggantikan ayahanda bagindanya yang mangkat semalam.

Sultan Nazrin kemudian melafazkan sumpah yang berbunyi: "Adalah kita Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi, bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut Perlembagaan Perak dengan adil mengikut hukum Allah."

Setelah melafazkan sumpah, baginda menurunkan tandatangan di atas surat sumpah disusuli laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh para hadrin.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, sebelum Sultan Nazrin meletakkan tangan dan mengucup keranda Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai syarat supaya disempurnakan pemakaman jenazah.

Istiadat pengisytiharan pelantikan Sultan Perak yang baharu disempurnakan sejurus selesai sesi penghormatan terakhir pada pukul 3 petang.

Dewan Negara Perak yang bersidang semalam telah memperkenankan pelantikan Sultan Perak yang baharu.

Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari semalam dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar hari ini. - Bernama



Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget