Ikrar Terus Setia BN

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem semalam menerima jaminan sekumpulan wakil rakyat yang keluar daripada SPDP dan SUPP untuk terus kekal dalam Barisan Nasional (BN).

Adenan berkata, beliau gembira dengan penjelasan yang diberikan kumpulan merangkumi bekas presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, bekas pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh dan Menteri Muda Pembangunan Estet Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie.

Kumpulan tersebut juga merangkumi Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri Muran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina, Ahli Parlimen Baram Anyie Ngau, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong.

Bekas timbalan presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang juga ADUN Pelagus George Lagong turut serta dalam kunjungan terhadap Adenan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia semalam.

George merupakan satu-satunya wakil rakyat daripada parti bukan komponen BN menyertai TERAS.

“Saya bersyukur dengan penjelasan yang diberikan mereka, jadi tiada keraguan mengenai perkara ini.

“Kita mengalu-alukan sokongan mereka dan akan membuat perancangan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.

Adenan yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, beliau akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberitahu mengenai perkara tersebut.

“Saya akan beritahu PM mengenai pembangunan terkini (politik Sarawak),” ujarnya sambil menambah, dalam situasi semasa tiada keperluan untuk merombak kabinet negeri.

Sementara itu, menurut Mawan, kumpulan wakil rakyat yang bersamanya menyertai TERAS berjanji untuk terus setia kepada BN di bawah kepimpinan Adenan.

“Kita akan terus bekerja bersama BN dan menjalankan tanggungjawab di bawah tunjuk ajar Ketua Menteri (Adenan),” jelasnya.

Beliau berkata, permohonan TERAS untuk menyertai BN akan dikemukakan kepada Perdana Menteri secepat mungkin.

“Kita semua dalam parti akan berbincang bersama sebelum permohonan dikemukakan,” kata Mawan.

Soon Koh pula menjelaskan, kesemua wakil rakyat yang menyertai TERAS berazam untuk terus setia bersama BN.

“Biarpun saya seorang berbangsa Cina tetapi kami dapat bekerjasama kerana terdiri daripada berbilang kaum.

“Kerja saya adalah untuk menjaga dan menarik sokongan masyarakat Cina terutama generasi muda,” ujarnya.-utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget