Pelancongan Makanan Mampu Lonjak Malaysia Ke Pentas Dunia

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Program Citarasa Kuala Lumpur 2014 dilihat mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan makanan di pentas dunia sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kepelbagaian makanan tradisional yang dimiliki Malaysia, turut mendapat pengiktirafan pihak luar.

"Laksa Penang sebagai contoh, telah diiktiraf pada tahun 2012 oleh sebuah rancangan televisyen yang berkisarkan destinasi pelancongan dunia, CNNGo, sebagai makanan ketujuh paling enak di dunia," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Citarasa Kuala Lumpur di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Dr Ong Hong Peng.

"Ini menunjukkan makanan Malaysia semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dunia," katanya sambil mengakui program Citarasa Kuala Lumpur 2014 dilihat sangat signifikan dan akan turut diadakan di seluruh negara bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Beliau berkata penganjuran acara itu juga tepat pada masanya dalam usaha kementerian untuk melonjakkan sektor makanan dan minuman (F&B) ke pentas dunia.

"Bagi tahun 2013, sebanyak 12.5 peratus atau RM8.18 bilion daripada jumlah pendapatan pelancongan adalah dari sektor F&B.

"Penganjuran acara ini juga membuka ruang kepada pengusaha industri kecil-kecilan dalam sektor makanan. Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan perniagaan mereka, di samping memberi impak ekonomi yang positif kepada para pengusaha," katanya.

Ong turut menarik perhatian dengan berkongsi kisah kemenangan Catherine Chin Wan Ping, seorang rakyat Malaysia kelahiran Ipoh, Perak, yang telah memenangi gelaran MasterChef UK melalui hidangan nasi lemak dan sup wantan.

Sementara itu, acara Citarasa Kuala Lumpur 2014 selama tiga hari bermula Jumaat, menyediakan gerai makanan tradisi dari 14 negeri yang menyajikan pelbagai sajian termasuk Ikan Patin Masak Tempoyak (Pahang), Nasi Gulai dan Pulut Mangga (Perlis), serta Sata dan Otak-otak (Johor).

Selain Citarasa Kuala Lumpur 2014, kementerian turut memperluaskan penganjuran acara ikonik seperti Citrawarna, Festival Seni dan Festival Muzium ke peringkat negeri, yang akan menonjolkan keunikan budaya dan seni negara yang mempamerkan budaya satu Malaysia.      - Bernama
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget