Sumbangan Taib Amat Besar, Layak Dapat Tun - Fatimah

KUCHING: Gelaran Tun yang dianugerahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud oleh Yang di-Pertuan Agong semalam sememangnya layak dengan usaha beliau dalam membangunkan Sarawak seperti hari ini, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

“Gelaran Tun sememangnya layak dianugerahkan kepada beliau (Taib) jika dilihatkan kepada sumbangan dan khidmatnya sejak menjadi menteri dalam Kabinet Malaysia malah menjadi Ketua Menteri Sarawak.

“Bukan itu sahaja, sumbangannya tidak hanya terhad untuk Sarawak dan semenanjung sahaja, malah lebih meluas sehingga dirasai di Australia dan negara Asia Pasifik yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Fatimah berkata, sumbangan Taib terlalu besar yang bukan hanya membawa keuntungan kepada negeri dan rakyat pada masa kini, malah generasi pada masa akan datang.

“Jika dilihat dalam negeri ini hari ini, setiap bahagian dan daerah menerima pembangunan daripada beliau (Taib).

“Semua usaha dan keringat beliau ternyata memberi manfaat kepada kita semua dan boleh kita katakan legasinya pasti akan kita kenang sampai bila-bila. Oleh sebab itu, gelaran Tun sememangnya layak diberikan kepadanya,” katanya menyifatkan Taib merupakan seorang ketua yang tiada gantinya.

“Saya mewakili wanita di negeri ini dan kementerian saya serta NGO mengucapkan tahniah kepada beliau kerana diberikan gelaran Tun oleh Agong hari ini (semalam) dan kita berharap beliau diberikan kesihatan tubuh badan dan berkat daripada Allah SWT,” ujar Fatimah. -utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget