35 Ahli Unit Bumiputera SUPP Sibu Sertai TERAS

SIBU: Seramai 35 Ahli Jawatankuasa serta Ketua Zon Unit Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu bertindak keluar parti dan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) semalam.

Ketua Zon Unit Bumiputera terbabit adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Bawang Assan, Nangka, Pelawan dan Bukit Assek.

Bekas pengerusi Unit Bumiputera SUPP Sibu, Andrew Shilling berkata mereka bertindak keluar parti bagi mengikuti jejak langkah bekas pengerusi SUPP Sibu, Dato Sri Wong Soon Koh.

“Kami Ahli Jawatankuasa Unit Bumiputera Sibu serta ketua-ketua zon DUN Dudong, Bawang Assan, Nangka, Pelawan dan Bukit Assek ingin memaklumkan dan berikrar untuk ‘berenang’ dan tenggelam bersama pengerusi kami, Soon Koh.

“Dengan itu, kami bertindak keluar SUPP berkuat kuasa serta- merta,” katanya selepas mempengerusikan satu mesyuarat di sini semalam.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu juga memberitahu, ahli Unit Bumiputera memberi sokongan penuh dan yakin dengan kepimpinan Soon Koh, yang menyertai TERAS pada 15 Mei lalu bersama beberapa wakil rakyat lain.

“Kita akan membawa lebih 4,000 ahli Unit Bumiputera SUPP dari Sibu keluar dan menyertai TERAS,” jelas beliau yang turut menyuarakan rasa kecewa dengan pemimpin Pusat SUPP.

Pemimpin Pusat SUPP, katanya, bertindak meminggirkan pemimpin seperti Soon Koh, Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnical Rayong yang selama ini bekerja keras berkhidmat kepada rakyat.

Jelas beliau, adalah lebih baik wakil rakyat itu mempunyai landasan lain seperti menyertai TERAS untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Andrew menambah, mereka juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu mengunci pintu pagar utama di hadapan dan bekalang pejabat SUPP Sibu pada petang 16 Mei lalu. - utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget