BN Tidak Guna Taktik Kotor, Cemar Nama Calon - Muhyiddin

TELUK INTAN, 25 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tidak guna taktik kotor dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, termasuk mencemar nama calon, kata Timbalan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya sudah sebut awal dulu (perkara itu) semasa penamaan calon (yang BN tidak akan terlibat dalam taktik sedemikian)," tegas Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan DAP membuat laporan polis semalam berhubung gambar perempuan berbikini yang mirip calonnya, Dyana Sofya Mohd Daud yang didakwa disebarkan di masjid baru-baru ini..

Muhyiddin turut menegaskan penyebaran gambar itu tiada kaitan dengan BN.

"Jangan buat tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas melainkan ada bukti. Dia (DAP)ada bukti? Tanya dia balik apa buktinya. Kalau dia (DAP) nak buat laporan kepada polis mesti ada data dan fakta yang betul," katanya kepada pemberita selepas majlis Pecah Tanah Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat di sini, Ahad.

Muhyiddin berkata tindakan pembangkang yang sering menyalahkan BN dilihat sebagai kehabisan modal untuk berkempen pada PRK Teluk Intan.

"Apapun terserah kepada dia (pembangkang). Tapi jangan sesekali apabila dia berhadapan dengan tentangan daripada kita, dia akan tuduh kita (sanggup) berbuat apa sahaja terhadap dia," katanya.

Ditanya tentang kempen pembangkang dari rumah ke rumah yang didakwa mengelirukan pengundi dengan menggunakan helah kononnya calon DAP Dyana Sofya akan menyertai Umno jika menang PRK itu, Muhyiddin berkata: "Dia bertanding atas tiket DAP, maknanya dia calon DAP."

Beliau berharap pengundi tidak terpedaya dengan helah pembangkang yang cuba mengelirukan mereka.

Mengulas tentang kempen pada PRK itu yang telah memasuki hari ketujuh, Muhyiddin berkata jentera BN bergerak lancar dan mereka telah menjelaskan kepada pengundi isu-isu yang dibangkitkan pembangkang.

"Kita (BN) tidak boleh ambil mudah dan perlu bekerja sehingga hari terakhir untuk menentukan kita mendapat setiap satu undi di setiap tempat," katanya.

Muhyiddin berkata penglibatan semua jentera parti komponen BN perlu ditingkatkan bagi memberikan kerjasama dan sokongan kepada calon BN.

"Semua pihak telah diberitahu supaya bekerja keras dan jangan memandang rendah kekuatan pembangkang," katanya.

PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala pengundian ditetapkan pada 31 Mei.

-- BERNAMA

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget