Malaysia-Kazakhstan Bakal Perluas Kerjasama Perkongsian Komprehensif Ke Tahap Baharu

ASTANA (KAZAKHSTAN), 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev melahirkan keyakinan bahawa hubungan rapat antara kedua-dua negara bakal menyediakan asas kukuh bagi memaju serta memperluas kerjasama dua hala dalam perkongsian komprehensif ke tahap baharu pada masa akan datang.

Kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan untuk memperluas kerjasama dalam bidang seperti pendidikan, industri makanan, pertahanan, sektor pembinaan, infrastruktur, logistik, hospitaliti, sumber asli, perkhidmatan kewangan Islam dan pertanian.

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, Najib dan Nazarbayev turut menunjukkan minat yang mendalam untuk memperluas perdagangan serta pelaburan dua hala dan mereka diberi mandat mengadakan mesyuarat ketiga Jawatankuasa Ekonomi dan Perdagangan Bersama yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Najib, yang berada di sini sejak Khamis dalam rangka lawatan rasmi tiga hari, mengadakan pertemuan empat mata dengan Nazarbayev di Istana Presiden Akorda yang menyaksikan perbincangan berkesan dalam suasana mesra dan disusuli jamuan malam.

Perdana Menteri turut diberi sambutan negara di Istana Presiden Akorda di sini petang Jumaat.

Sebelum bertemu Nazarbayev, Najib mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Karim Massimov di Pejabat Perdana Menteri di sini diikuti dengan mesyuarat delegasi.

Najib dan Massimov kemudian menyaksikan majlis menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dengan rakan niaga masing-masing bagi melaksanakan projek perniagaan yang nilai keseluruhannya US1.1 bilion.

Kenyataan bersama Najib dan Nazarbayev turut bersetuju mengkaji semula peruntukan tambahan yang dicadang dalam Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) sedia ada bagi mempertingkat kekerapan penerbangan antara Almaty dan Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemimpin turut menyambut baik pemeteraian tiga MoU antara Malaysia dan Kazakhstan iaitu Markmore Sdn Bhd dan Pentadbiran wilayah Mangystau bagi pembinaan kilang metanol in Kuryk; Kenmakmur Holdings Sdn Bhd dan Pentadbiran wilayah Mangystau bagi kilang LPG di Kuryk; serta Agrostan Farms Sdn Bhd dan Pentadbiran wilayah Zhambyl bagi penternakan lembu.

Najib dan Nazarbayev turut melahirkan hasrat bersama mereka untuk terus mempromosi peluang pendidikan serta penyelidikan untuk pelajar Kazakhstan dan Malaysia, sarjana serta penyelidik institusi pengajian di kedua-dua negara.

Perdana Menteri turut menyatakan rasa terhutang budi kepada Nazarbayev untuk bantuan dan sokongan kerajaan Kazakhstan pada awal misi pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Mengulas isu antarabangsa, kedua-dua negara mengulangi komitmen mereka ke arah pencapaian dunia yang bebas senjata pemusnah besar-besaran.

Dalam hal ini, Malaysia menyokong inisiatif Kazakhstan ke arah mengguna pakai, dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Deklarasi Universal mengenai Pencapaian Dunia Bebas Senjata Nuklear, sebagai satu langkah penting penggunaan Konvensyen Senjata Nuklear.

Kedua-dua pemimpin turut berharap Persidangan mengenai penubuhan zon bebas senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran di timur tengah akan diadakan secepat mungkin. - Bernama
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget