DUN Pantai Damai Akan Lancarkan Program Pembangunan Pendidikan

KUCHING: Satu program pembangunan pendidikan akan dilancarkan tahun ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai bagi memastikan lebih ramai pelajar melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, inisiatif itu akan melibatkan kesemua pelajar termasuk murid-murid tadika bagi melahirkan lebih ramai lepasan sekolah serta modal insan berkualiti dari konstituensi tersebut.

“Program ini yang merangkumi pelbagai bentuk secara amnya ingin mengajak anak didik yang bersekolah sama ada di tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah untuk menanam cita-cita ke menara gading.

“Ini adalah antara inti padi pendidikan yang akan dilaksanakan tahun ini. Formula Program Pendidikan DUN Pantai Damai ini akan dibincang secara lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pendidkan DUN Pantai Damai bersempena Anugerah Kecemerlangan Pendidikan kepada 99 orang pelajar dan sambutan Hari Guru bagi kawasan tersebut di Bangunan Yayasan Sarawak, Jalan Sungai Tengah di sini, semalam.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Pengerusi Biro Pendidikan Pantai Damai Khushiri Salleh dan Timbalan Pegawai Pendidikan Kuching Thomas Kanyan.

Kawasan Pantai Damai mempunyai sebanyak 13 sekolah rendah, tiga sekolah menengah dan satu institusi kemahiran, Institut Aminuddin Baki.

Abdul Rahman menjelaskan, program itu adalah salah satu kaedah bagi menanam minat anak-anak ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta memandangkan pendidikan adalah batu loncatan untuk berjaya dalam kerjaya dan kehidupan.

“Kita perlu membudayakan kejayaan dalam pendidikan. Kalau cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), pastikan juga diri cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke peringkat seterusnya.

“Kita ingin menggalakkan para pelajar untuk terus menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi kerana kita tidak mahu ada yang tercicir dari pendidikan di Pantai Damai pada masa akan datang,” katanya.

Beliau pada masa sama, mengajak masyarakat untuk bersama-sama menggerakkan program itu bagi memastikan matlamat mewujudkan ramai graduan dan modal insan berkualiti mampu dicapai.

Program itu merupakan kesinambungan daripada Skuad Sayang yang dimulakan pada 1995 di Pantai Damai dengan slogan ‘Satu Keluarga Satu Graduan’.

Skuad Sayang itu kemudian turut dilancarkan di kawasan-kawasan DUN lain di Sarawak.

“Mungkin suatu ketika dahulu untuk ke universiti merupakan satu perkara yang sukar malah ada beranggapan mustahil atau terlalu bercita-cita tinggi kerana kekurangan pusat pengajian.

“Tetapi keadaan sekarang telah berubah, universiti atau kolej ada di semua tempat sama ada di dalam atau luar negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah menyambut baik inisiatif untuk membangunkan pendidikan di kawasan DUN tersebut.

Beliau turut merancang untuk mengembangkan program itu ke kawasan-kawasan lain di negeri ini.

“DUN Pantai Damai adalah satu kawasan yang sangat kreatif dan inovatif. Program yang menitikberatkan pendidikan ini jika berjaya dilaksanakan akan menjadi ikutan DUN lain termasuk di DUN saya sendiri, Dalat agar dapat bersama-sama mendapat faedah,” katanya.

Beliau yakin pelan tindakan untuk membangunkan pendidikan itu akan berjaya lebih-lebih lagi apabila kawasan itu dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas.

“Faktor prasarana ini amat penting. Begitu juga kerjasama daripada pihak sekolah dan masyarakat dan jika kesemua pihak bergerak sebagai satu pasukan, kesemuanya berpegang pada prinsip pendidikan maka  DUN ini akan berjaya,” katanya.

“Para pelajar (99 orang) yang menerima anugerah hari ini (semalam) adalah kumpulan pertama yang akan menempatkan diri di pelbagai universiti kelak, bakal berjaya dan menjadi pelapis serta memimpin masyarakat pada masa akan datang,” katanya.- utusan borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget