AirAsia Syarikat Penerbangan Pertama Guna Sistem Pemeriksaan Interpol

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- AirAsia Bhd bakal merintis penggunaan 'I-Checkit', sistem pemeriksaan polis antarabangsa (INTERPOL), bagi meningkatkan keselamatan perjalanan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata semua pasport penumpang prospektif akan disemak dengan pangkalan data Dokumen Perjalanan Hilang dan Curi (SLTD) Interpol.

"Apabila dilaksanakan lewat bulan ini, projek perintis itu bakal menyaksikan AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama menyepadukan I-Checkit dengan sistem mereka sendiri semasa fasa daftar masuk dalam keseluruhan rangkaian antarabangsanya, membolehkan nombor pasport penumpang disemak dengan pangkalan data SLTD INTERPOL, yang memuatkan lebih 40 juta rekod dari 167 negara," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dipetik berkata dalam kenyataan itu bahawa kerjasama tersebut akan menyumbang kepada usaha meningkatkan keselamatan penumpang serta menyokong usahanya menawarkan tambang rendah dengan jaminan tambahan yang ditawarkan oleh sistem dan kerjasama itu.

Sistem I-Checkit akan digunakan dalam keseluruhan operasi antarabangsa AirAsia, meliputi rangkaian 100 lapangan terbang di Asia dan 600 penerbangan antarabangsa sehari ke lebih 20 negara di seluruh dunia.

Setiausaha Agung INTERPOL Ronald K Noble berkata kerjasama itu akan meningkatkan tahap keselamatan penumpang.

"AirAsia telah menetapkan standard baharu bagi keselamatan syarikat penerbangan dengan menyemak pasport semua penumpang antarabangsa dengan pangkalan data INTERPOL," katanya.- BERNAMA
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget