Anugerah Sukan Negara 2013 | Chong Wei, Pandelela calon utama

 Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012
KUALA LUMPUR - Pemenang 2012, Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong bakal mempertahankan gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan apabila masing-masing dicalonkan semula dalam kategori utama Majlis Anugerah Sukan Negara 2013 pada 19 Mei ini.

Jaguh badminton itu akan disaingi Olahragawan Kebangsaan 2000 dan 2006, Sazali Ab. Samad daripada bina badan yang turut bergelar Atlet Terbaik Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2013 bulan lalu.

Pandelela, ratu terjun yang juga Olahragawati Kebangsaan 2011 dan 2012, pula bakal dicabar ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang juga pemegang rekod pemenang terba­nyak pengiktirafan sukan tertinggi Malaysia itu (1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010).

Tujuh gelaran Siri Super Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Korea Selatan, Malaysia, India, Indonesia, Jepun, Hong Kong dan pusi­ngan akhir menjadi pertaruhan Chong Wei sementara Sazali dengan gelaran lightweight Kejohanan Dunia di Hungary, November lalu.

Bagi Pandelela, pencapaian terbaiknya sepanjang 2013 ialah pingat gangsa Siri Dunia dan Kejohanan Dunia FINA, selain emas Sukan SEA ­Myanmar.

Nicol pula mengumpul gelaran Siri Akhir Dunia, Sukan Dunia, Terbuka Malaysia, Carol Weymuller dan Amerika Syarikat.

Turut berentap dalam kategori Olahragawan ialah Lee Chee Wei (gangsa karate Piala Dunia K1), Benjamin Khor (emas Kejohanan Me­nembak Asia Tenggara), Jironi Riduan (emas 800, 1,500 meter olahraga Sukan SEA), Ooi Tze Liang (Siri Dunia Terjun FINA, Sukan SEA) dan Hon Mun Hua (juara nanquan Wusyu Dunia).

Calon lain untuk anugerah Olahragawati Kelly Tan (naib juara golf Piala Amatur China), Casier Renee Kelly Lee (perak baling tukul besi Sukan SEA), Diana Bong (perak nangun Kejohanan Wusyu Dunia dan dua gangsa Sukan Dunia) serta Nisha Alagasan (gangsa karate Piala Dunia K1).

Ketua Setiausaha KBS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan anugerah, Datuk Jamil Salleh berkata, majlis penyampaian anugerah itu akan diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara dengan tetamu kenamaannya ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selain trofi kemenangan, Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

“Begitu juga Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan," katanya selepas mesyuarat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Turut akan dipertandingkan dan disampaikan pada majlis itu ialah anugerah Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, Jurulatih Kebangsaan, Anugerah Khas, Kepimpinan Sukan dan Tokoh Sukan.

“Bagi tahun ini, penaja majlis, TM turut memperkenalkan Anugerah Team Malaysia yang pemenangnya dipilih berdasarkan undian terbanyak oleh orang ramai di laman sosial dan bukan daripada kalangan pemenang mana-mana kategori Anugerah Sukan Negara," katanya.- utusan online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget