KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keupayaan Umno mengekalkan reputasi sebagai parti Melayu yang unggul merupakan satu pencapaian besar bagi parti itu.
Beliau berkata walaupun Umno masih diterima, namun sokongan terhadapnya kelihatan berkurangan dan parti itu perlu mengambil iktibar daripada keadaan itu.
"Kalau kita perhatikan, parti-parti yang berjuang untuk kemerdekaan, hampir semua tidak ada sekarang ini. Semua dah luput dah, ditolak oleh rakyat.
"Tapi Alhamdulillah, Umno masih lagi diterima walaupun sokongan nampak sudah berkurangan sedikit. Kalau ia (Umno) tak ambil iktibar daripada (keadaan) ini, membetulkan keadaan, kemerosotan sokongan mungkin akan berterusan," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ulang tahun ke-68 penubuhan Umno pada 11 Mei ini dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan buku mewah berjudul "Reminiscences of Insurrection: Malaysia's Battle against Terrorism 1960-1990" di Kementerian Pertahanan di sini, petang tadi.
Dr Mahathir menasihatkan para pemimpin Umno supaya mendengar apa yang disebut oleh rakyat terutamanya parti lawan.
"Tetapi janganlah kita pula layan sangat parti lawan ni kerana dia ada tujuan nak bagi jatuh kerajaan.
"Tapi kalau kita tidak ambil peduli tentang teguran, mungkin kita akan terus kehilangan sokongan," katanya.- BERNAMA
Post a Comment