Setiap kali pilihan raya, Umno janji bina jambatan


KUALA KRAI: Setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) pemimpin Umno berjanji mahu membina jambatan menghubungkan Kampung Pemberian dan Manjor.

Dan terakhir menjelang PRU13 isu berkenaan dijaja sebagai kempen menghadapi pilihan raya berkenaan.

Dan sekali lagi baru-baru ini kerajaan pusat dikatakan melulus peruntukan sebanyak RM40 juta bagi membina jambatan tersebut untuk menyeberangi Sungai Lebir.

Penghulu Mukim Manjor, Mohd Asri Mohd Nor berkata janji untuk membina jambatan baru menghubungkan Manjor dan Pemberian sudah acap kali disebut pemimpin Umno.

Katanya janji berkenaan sekarang tenggelam dengan menimbulkan pula isu balak hanyut kononnya sebagai punca jambatan besi sedia ada runtuh.

“Rakyat di kedua-dua kampung sudah lama menunggu janji kerajaan pusat mahu membina jambatan di kampung berkenaan.

“Kalau jambatan dibina tinggi seperti di Kampung Manek Urai Lama tidak timbul jambatan hanyut dirempuh kayu seperti yang berlaku sekarang,” katanya di sini.

Kelmarin Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata kerajaan melulus peruntukan sebanyak RM40 juta bagi membina jambatan baru menggantikan jambatan besi yang ada sekarang.

Beliau mendakwa jambatan besi itu runtuh akibat rempuhan kayu balak.

Mohd Asri juga berkata batang-batang kayu yang dilihat hanyut merempuh jambatan tersebut tongkol kayu-kayu lama dan rumpun buluh.

Menurutnya tidak kelihatan batang balak seperti baru ditebang sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

“Jambatan besi tersebut sebenarnya dua kali tenggelam tahun lepas dan kali ketiga tahun ini. Disebabkan paras air Sungai Lebir setara dengan ketinggian jambatan menyebabkan kayu-kayu hanyut merempuhnya.

“Kalau paras air tinggi seperti banjir besar akhir 2014 jambatan itu tidak banyak rosak,” katanya.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata Penyelia Dun Dabong Ku Mohd Zaki Ku Hussin menyediakan sebuah bot yang memuatkan sehingga 15 penumpang bagi kemudahan penduduk di Pemberian. -
HARAKAHDAILY

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget