KUALA LUMPUR: Orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditolak pada pilihan raya akan datang, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Beliau menyifatkan dakwaan Melayu kehilangan kuasa sebagai helah Najib untuk menutup kelemahan pentadbirannya berikutan pelbagai isu skandal berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang gagal ditangani dengan baik.
“Najib sedaya upaya mengelak untuk menjelaskan isu skandal yang membabitkan dirinya dengan menanam ketakutan kononnya jika beliau tidak menjadi perdana menteri, hak orang Melayu akan terhapus.
“Realitinya, orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa, sebaliknya, Najiblah yang berkemungkinan kehilangan kuasa pada pilihan raya akan datang,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Beliau yang merujuk angka pecahan pengundi mengikut kaum pada pilihan raya lalu berkata, mustahil orang Melayu kehilangan hak keistimewaan berikutan situasi demografi yang memihak kaum itu.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, sebanyak 52.63 peratus pengundi adalah Melayu manakala Cina (29.68 peratus), India (8.96 peratus) dan lain-lain (1.43 peratus). Malah, sebanyak 114 kerusi dimiliki kaum Melayu manakala Cina, 22 kerusi.
“Bagaimana mungkin orang Melayu akan kehilangan kuasa dalam keadaan seumpama itu?” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Kit Siang berkata, Najib sebaliknya harus menjelaskan pelbagai skandal yang membabitkan dirinya dan bukannya menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam semata-mata untuk menutup kelemahan dan meraih undi kaum itu.
“Dua skandal terbesar berkaitan 1MDB dan derma RM 2.6 billion tidak akan reda selagi Kerajaan UMNO BN tidak menjelaskannya kepada rakyat.
“Soal derma, ke mana perginya wang itu, dari mana wang itu disalur? Berkaitan 1MDB, berapa jumlah sebenar hutang yang ditanggung syarikat itu?” katanya.
Menegaskan DAP tidak akan terjerumus dalam permainan kotor perkauman UMNO BN, beliau berkata parti itu merai demokrasi dan tidak akan tersasar dari matlamat untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“DAP dituduh dengan berbagai-bagai label tetapi kami tetap dengan pendirian untuk menegakkan perkara dasar dalam perlembagaan termasuk memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara,” katanya. -Roketkini.com
Post a Comment