UPP-SUPP: Adenan perlu buat keputusan sendiri

TERIMALAH: Dr Jerip menyampaikan cek sumbangan Tabung Pendidikan UPP kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Wong (tengah) dan Ranum (kanan).
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akhirnya perlu membuat keputusan sendiri untuk menyelesaikan perebutan kerusi antara Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ini ekoran pintu perjanjian secara baik yang ditawarkan oleh Adenan kepada kedua-dua parti Cina itu sudah tamat pada hari ini di mana mereka telah gagal membentuk jawatankuasa untuk membincangkan mengenai pembahagian kerusi.

Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh berkata kegagalan tersebut adalah disebabkan oleh SUPP yang langsung tidak memberi maklum balas.

“Kami telah beberapa kali menulis surat kepada SUPP untuk mempelawa mereka berunding bagi pembahagian kerusi seperti yang disarankan Ketua Menteri tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada mereka.

“Apa yang kita mahu ialah jika SUPP kuat dalam sesuatu kawasan maka mereka bertanding di situ dan begitu juga di pihak UPP sekali gus memastikan kemenangan untuk Barisan Nasional (BN).

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan mereka (SUPP) demi perpaduan masyarakat Cina khususnya dan juga memaksimumkan kemenangan BN,” katanya pada sidang media sebelum menyaksikan Majlis Penyerahan Cek kepada penerima Tabung Pendidikan UPP di ibu pejabat parti itu di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden UPP Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Agung UPP George Lo dan Naib Presiden Kanan UPP Ranum Mina.

Dalam pada itu, Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti serta Menteri Kewangan Kedua turut mendedahkan bahawa Adenan telah menghubunginya untuk bertanya mengenai perkembangan antara UPP dan SUPP.

“Ketua Menteri bertanya apa kemajuan yang telah kami capai dan saya memberitahu beliau bahawa tidak ada sebarang maklum balas daripada SUPP.

“Mungkin beliau (Adenan) kecewa dengan keputusan ini tetapi disebabkan SUPP telah memutuskan untuk tidak memberi maklum balas kepada kami maka tiada apa-apa yang dapat kami lakukan.

“Jadi sekarang kami serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri untuk membuat keputusan,” katanya.

Sementara, George Lo berkata UPP kini sedang dalam proses untuk pendaftaran dan pembentukan cawangannya di Batu Kitang.

“Kami berharap akan mempunyai cawangan di Batu Kitang secepat mungkin,” katanya sambil menambah, jika diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) maka ia akan menjadi cawangan yang ke-26 parti itu.

Manakala Dr Jerip berkata UPP menerusi tabung pendidikannya akan membantu sebanyak mungkin anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pendidikan.

“Kami bersedia membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan untuk tujuan pendidikan tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Seramai 60 penerima dari konstituensi Bengoh dan Opar telah menerima bantuan kewangan daripada Tabung Pendidikan UPP semalam yang disampaikan oleh Dr Jerip dengan disaksikan oleh Wong dan Ranum.

Menurut Dr Jerip yang juga ADUN Bengoh, sejak Tabung Pendidikan UPP dilancarkan, ia telah meraih sejumlah RM33 juta daripada sektor korporat di negeri ini.

Kira-kira RM70,000 daripada dana tersebut telah disumbangkan kepada penerima yang layak di negeri ini dengan kadar bantuan dari RM500 hingga RM5,000 bagi setiap penerima

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget