150 ahli PEDAS berhimpun sokong dua tuai rumah

AMAN: Ahli PEDAS bersama penduduk rumah panjang mengadakan protes secara aman di pekarangan Mahkamah Tinggi Miri semalam.

MIRI: Lebih 150 ahli Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) dan penduduk rumah panjang dari Rumah Ramba Sungai Liam, Bakong dan Rumah Jambai Bekelit, Niah mengadakan perhimpunan aman di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Setiausaha Agung PEDAS Bill Kayong berkata perhimpunan aman selama sejam itu sebagai menunjukkan sokongan moral kepada kedua-dua tuai rumah panjang tersebut yang kini masih bergelut dengan kes perbicaraan berkaitan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan masing-masing.

“Perhimpunan aman ini sebagai tanda sokongan moral kami kepada kedua-dua tuai rumah tersebut selain meminta pihak berkuasa mempercepatkan siasatan kes Tuai Rumah Jimbai yang dibelasah sekumpulan samseng,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bill turut memberitahu bahawa PEDAS juga memaklumkan ahli-ahlinya agar bertenang dan menyerahkan siasatan kes tersebut kepada polis dan menasihat mereka tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri.

Katanya PEDAS turut menerima nasihat polis agar tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan provokasi agar tidak mengganggu proses siasatan.

“Bagaimanapun, kami berharap polis mempercepatkan siasatan tersebut kerana bimbang jika ada lagi kejadian tidak diingini berlaku atau kes serupa berulang, maka ada pihak mungkin berada di luar kawalan PEDAS bertindak sendiri.

“Bagi ahli-ahli PEDAS, saya memberi jaminan kami patuh arahan polis dan menasihati penduduk bertenang serta tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri,” jelasnya ketika ditemui pada perhimpunan tersebut.

Ekoran itu, PEDAS membuat laporan polis di lima cawangannya.

Dimulakan PEDAS Miri, laporan polis turut dibuat di Kuching, Bintulu, Sri Aman dan petang semalam di Sibu.

Mereka minta polis bertindak adil dan sewajarnya dalam siasatan tersebut.

Utusan Borneo difahamkan bahawa isu serangan ke atas tuai rumah tersebut merupakan kemuncak krisis selepas Tuai Rumah Jimbai menerima ancaman dan amaran daripada kumpulan samseng terbabit yang dipercayai diupah sebagai ‘pengawal’ ladang sawit berkenaan.

“Walaupun sudah ada laporan polis dibuat terhadap ancaman ke atas tuai rumah tersebut termasuk kereta Proton miliknya turut dibakar namun tiada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa,” jelas Bill.

Sementara itu, perhimpunan aman itu turut disertai ahli seumur hidup PEDAS Nicholas Bawin Anggat yang datang dari Kuching bertemu dengan kedua-dua tuai rumah tersebut bagi memberi sokongan moral kepada mereka.

- Borneo Post Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget