Penduduk terjejas kini lega selepas menikmati bekalan air hasil inisiatif 1M Sarawak
LUNDU: Kemunculan 1Malaysia (1M) Sarawak membantu menyediakan bekalan air menerusi sistem graviti memberi perubahan ketara terhadap mutu kehidupan bagi 80 keluarga di Kampung Bitokan di sini sejak setahun lalu.
Berbanding sebelumnya, semua penduduk terbabit hanya bergantung bekalan air daripada kolam, anak sungai dalam ladang kelapa sawit serta air hujan untuk mandi, membasuh pakaian dan mencuci pinggan mangkuk.
Malah, ada kalangan mereka berharap dengan air hujan untuk diminum dan memasak manakala bagi yang berkemampuan mereka membeli air terawat daripada ‘mesin air’ yang terdapat di Pasar Lundu.
Menurut Ketua Kampung Bitokan, Longer Mised semua penduduk terjejas kini lega kerana masalah serius membelenggu kehidupan mereka selama ini akhirnya diatasi walaupun hanya menggunakan sistem graviti yang tidak menjamin sepenuhnya bekalan air kepada mereka.
“Dahulu kami sangat susah untuk mandi, membasuh pakaian, mencuci pinggan mangkuk, memasak atau mempunyai air minuman kerana tiada bekalan air bersih.
“Tetapi, atas peruntukan dan kerjasama 1M Sarawak, Pejabat Kesihatan Lundu dan semua penduduk kampung bergotong-royong membina sistem graviti maka kami sekarang dapat menikmati bekalan air,” katanya ketika ditemui semalam.
Longer berkata, mereka mula menggunakan air daripada sistem graviti itu sejak Ogos 2014 setelah projek menaik taraf paip graviti berjarak kira-kira sembilan kilometer dari kampung mereka siap.
Namun, beliau berharap kerajaan dapat segera menyalurkan bekalan air terawat memandangkan saluran paip membekalkan air terawat kepada mereka termasuk kampung-kampung sekitarnya sudahpun dipasang.
“Saluran paip sudah siap dipasang sejak tahun lalu, tetapi kami masih belum mendapat bekalan air saya difahamkan ia menunggu bekalan air dari Empangan Bengoh,” katanya.
Salah seorang penduduk yang juga seorang suri rumah, Jivien Mahiew, 47, berkata mereka sangat bersyukur atas keprihatinan 1M Sarawak serta Pejabat Kesihatan Lundu membantu menyediakan bekalan air.
“Dulu setiap hari kena mandi, membasuh kain dan sebagainya di kolam lebih-lebih lagi pada musim kemarau tetapi sekarang tidak ada lagi,” katanya.
Jivien memberitahu, sebelum mendapat bekalan air daripada sistem graviti keluarganya terpaksa membeli tangki air berharga RM500 setong selain menggunakan tangki air 1Malaysia menadah air hujan bagi kegunaan harian.
Selain itu, seorang lagi penduduk yang juga suri rumah, Nyoted Ash, 46, turut berterima kasih kepada 1M Sarawak atas sumbangan meringankan beban mereka.
Katanya, kehidupan mereka kini lebih selesa setelah menikmati bekalan air daripada sistem graviti berkenaan.
“Dahulu kami tidak dapat memakai pakaian putih kerana akan kuning disebabkan dicuci di kolam, malah tangan saya juga pernah bengkak akibat mengangkat baldi terlalu berat.
“Tetapi, sekarang masalah air tiada lagi dan saya bersyukur kerana 1M Sarawak tampil membantu kami,” katanya.
Kampung Bitokan merupakan pecahan penduduk dari Kampung Selampit yang mula mendiami penempatan itu sejak 2004 namun kini turut dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Bitokan Tubon dan Bitokan Togog.
Pada masa sekarang terdapat sejumlah 137 keluarga tinggal di kampung tersebut dengan populasi penduduknya seramai 687 orang.
Bagaimanapun, hanya 57 keluarga di situ mendapat bekalan air daripada sistem graviti di Kampung Selampit manakala 80 keluarga lagi bergantung kepada air hujan untuk keperluan harian.-Utusan Borneo
Post a Comment