RM4.5-RM5 bilion setahun diterima Sarawak tidak cukup untuk kejar pembangunan Semenanjung Malaysia
KUCHING: Untuk mempercepatkan kadar pembangunan di Sarawak, ia memerlukan sekurang-kurangnya RM45 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kata Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh.
Pada masa ini, beliau berkata kerajaan negeri menerima antara RM4.5 hingga RM5 bilion setiap tahun tetapi jumlah itu masih tidak mencukupi untuk mengejar pembangunan Semenanjung Malaysia kerana ia masih jauh ketinggalan khususnya di kawasan luar bandar.
“Dalam usaha kita mengejar kadar pembangunan yang berlaku di Semenanjung Malaysia, kita memerlukan peruntukan dua kali ganda daripada jumlah yang sering diterima setiap tahun (RM4.5 hingga RM5 bilion).
“Dengan itu, baharulah kita dapat mengejar pembangunan yang telah dinikmati Semenanjung Malaysia,” katanya ketika ditemu bual pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Menurut Wong, Sarawak telah diabaikan selama ini oleh kerajaan persekutuan dari segi peruntukan.
Sehubungan itu, katanya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta peruntukan yang diperlukan untuk membangunkan negeri ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri telah menubuhkan satu pasukan petugas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani untuk menjalankan susulan yang sewajarnya dengan kerajaan persekutuan.
Dalam pada itu, Wong menjelaskan bahawa permintaan yang dibuat oleh Adenan untuk mendapatkan lebih dana bagi pembangunan negeri juga tidak akan me-rangkumi 20 peratus royalti minyak dan gas yang telah dituntut daripada Petronas.
Katanya pada masa ini, royalti minyak dan gas sebanyak lima peratus yang dibayar oleh Petronas setiap tahun adalah menyumbang kira-kira 35 peratus daripada jumlah hasil negeri.
Wong juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan peruntukan persekutuan untuk tahun depan kerana ia seolah-olah akan merangkumi RM16 bilion untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Beliau berkata peruntukan RM16 bilion untuk Lebuh Raya Pan Borneo perlu dipertimbangkan secara berasingan atau ‘melebihi’ daripada bajet pembangunan biasa kerana banyak lagi kemudahan asas yang diperlukan di negeri ini.
Sementara itu, Wong yang membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2016 memohon jumlah tambahan sebanyak RM1.122 bilion yang diperlukan di bawah Anggaran Perbelanjaan Biasa Tambahan 2015 bagi tiga tujuan iaitu RM1 bilion untuk perolehan kepada Akaun Tabung Pembangunan untuk mengisi semula tabung bagi membiayai program dan projek pembangunan pada masa depan, RM21.9 juta untuk bayaran bonus bulanan pada Januari 2015, penyesuaian gaji dan elaun lain serta Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 yang dibayar pada Ogos 2015 dan RM100 juta untuk menambah Tabung Kontingensi.
Rang undang-undang ter-sebut diluluskan tanpa perbahasan semalam.
- Borneo Post Online
Post a Comment