KUCHING: Putrajaya dikehendaki memaklumkan kepada Sarawak mengenai apa sebenarnya yang telah berlaku semasa rundingan sehinggakan mereka gagal mengembalikan dengan selamat anak negeri ini, mendiang Bernard Then yang dipenggal kepada oleh pengganas Abu Sayyaf.
Menyatakan demikian, ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan berkata setakat ini Sarawak belum lagi mendapat sebarang laporan terperinci mengenai insiden berkenaan daripada Putrajaya atau sama ada laporan diberi kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk sekurang-kurangnya membuat negeri ini faham mengenainya.
“Bagi pihak kita, Putrajaya sepatutnya membuat tuntutan daripada Manila dan memaklumkan kepada kita tentang usaha terakhir mereka untuk membebaskan rakyat kita.
“Pada masa sama, ia adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan dan menerima sebab-sebab yang mengutamakan ‘semangat ASEAN’ lebih daripada nyawa warganegara kita.
“Kita amat menghargai jika Putrajaya dapat memberi penerangan kepada kita berhubung insiden ini,” katanya pada Persidangan DUN di sini, semalam.
Justeru, beliau berkata mungkin sudah tiba masanya untuk Sarawak meneliti semula hak imigresen seperti yang dilakukan dalam Perjanjian 18 Perkara berhubung isu-isu berkaitan autonomi imigresen.
“Saya mencadangkan sebagai bentuk tindak balas yang lembut agar permit kerja atau kelulusan visa bagi semua ekspatriat atau pekerja Filipina ditahan atau disemak semula oleh Jabatan Imigresen dan tiada pembaharuan atau lanjutan selanjutnya dibenarkan.
“Ekspatriat ini menikmati faedah keselamatan ketika bekerja di negeri kita, memperolehi pendapatan yang baik dan menghantar pendapatan tersebut ke negara mereka tetapi warga kita pula terpaksa menanggung kesengsaraan diculik bagi mendapatkan wang tebusan,” katanya.
- Borneo Post Online
Post a Comment