KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan dakwaan Malaysia akan menjadi boneka Amerika Syarikat jika ia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) sebagai tidak berasas.
Katanya, dakwaan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab itu adalah berdasarkan maklumat tidak tepat, diseleweng dan diputarbelitkan.
“Jika Malaysia menjadi boneka, bagaimana dengan 11 negara yang lain? Adakah mereka juga akan jadi boneka?
“Realitinya kita ini negara kecil, kita perlu menjual perkhidmatan kita kepada negara lain, malah kita bergantung antara satu lain demi kebaikan ekonomi, tidak timbul soal kita jadi boneka jika kita sertai perjanjian TPP ini,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman di Dewan Negara, di sini hari ini.
Abdul Rahim Abdul Rahman menyuarakan kebimbangan rakyat negara ini mengenai pelbagai khabar negatif sekiranya Malaysia memeterai TPPA.
Mustapa mengulangi jaminan bahawa perjanjian itu tidak akan menggugat dasar negara sedia ada termasuk berkaitan kedaulatan negara dan agama Islam serta kepentingan bumiputera.
Katanya, negara akan memperoleh pelbagai faedah seperti akses pasaran lebih luas dan iklim pelaburan yang bertambah baik dan ekonomi lebih berdaya saing, jika menyertai TPP.
Menjawab soalan asal Abdul Rahim, Mustapa berkata, penemuan kajian analisis kos faedah yang dijalankan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia serta PricewaterhouseCoopers’ (PwC) kini dipaparkan menerusi laman web kementerian, www.miti.gov.my.
Teks kajian akan diedar di Dewan Negara pada Isnin ini, selain satu sesi persidangan khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang dijadualkan pada hujung Januari depan, katanya.
“Selain itu, sesi penerangan kepada rakyat, agensi-agensi kerajaan, korporat termasuk warga IPT (institusi pengajian tinggi) akan diteruskan sehinggalah mereka benar-benar memahami faedah TPP,” katanya.
Mustapa juga menggesa anggota kedua-dua dewan mengambil sikap rasional dalam membuat keputusan mengenai perjanjian itu, berdasarkan faedah dan manfaat yang dijelaskan oleh kajian berkenaan.
- Utusan Online
Post a Comment