KUCHING: Sebanyak 12 usul akan dibentangkan oleh parti pembangkang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini (7 Disember) hingga 16 Disember ini.
Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pembentangan usul itu akan dibuat oleh wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Antara yang akan membuat pembentangan ialah Fong Pau Teck (tiga), Chong Chieng Jen (tiga), See Chee Haw (tiga), Baru Bian (dua), dan David Wong Kee Woan (satu),” katanya.
Beliau mendedahkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pra-DUN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di sini, semalam.
Katanya, usul itu menyentuh tentang penggunaan bahasa Inggeris, perkhidmatan awam, perjanjian Malaysia dan pendidikan.
Selain itu, dua Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2015 dan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 akan turut dibentangkan pada persidangan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Perkara itu akan dibentangkan, malah soalan sudah dihantar dan akan dijawab pada Persidangan DUN nanti,” jelasnya.
Ditanya tentang penolakan usul akan dibentangkan, Asfia berkata perkara itu hanya akan ditentukan semasa tempoh persidangan.
“Saya tidak boleh menolak mana-mana usul itu sekarang, kita akan bincang perkara ini di Dewan.
“Malah usul juga sudah dijelaskan dalam media sebelum ini, tidak perlu untuk saya mengulangnya semula,” kata Asfia.
- Borneo Post Online
Post a Comment