KUCHING: Hanya 218 daripada 795 keseluruhan projek bekalan bersih yang dicadang untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) diluluskan untuk pelaksanaan.
Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata 218 projek berkenaan melibatkan peruntukan awal (siling) RM3.54 bilion.
“Sebanyak 795 projek bekalan air bersih dicadang untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu dalam tempoh lima tahun ( 2016 hingga 2020).
“Projek ini dijangka memberi manfaat kepada tambahan 79,130 isi rumah, bagaimanapun hanya 218 daripada 795 projek diluluskan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kemudahan Awam pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Beliau menambah, kementeriannya akan berusaha melaksanakan semua projek diluluskan dengan jayanya dan terus mengemukakan permohonan mendapatkan lebih banyak dana pembangunan dalam kajian semula pertengahan penggal RMK11.
Mengenai liputan bekalan air bersih di negeri ini pada tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), Awang Tengah berkata ia menunjukkan peningkatan kepada 68 peratus.
“Kos menyediakan bekalan air bersih di luar bandar meningkat dengan ketara sekali dan beberapa kawasan terpencil tidak disambung dengan mana-mana rangkaian bekalan air utama wilayah,” jelasnya.
Menyentuh beberapa isu spesifik dibangkitkan ahli-ahli dewan, Awang Tengah berkata peruntukan RM80 juta telah dimasukkan dalam RMK11 bagi melaksanakan projek bekalan air ke beberapa rumah panjang seperti dibangkitkan.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Kidurong, projek bekalan air ke kawasan Suai telah dimasukkan ke dalam RMK11 untuk pelaksanaan. “Projek ini melibatkan pembinaan 86 km saluran paip dan akan memberi faedah kepada penduduk di 67 rumah panjang di kawasan tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, katanya masalah bekalan air bersih dialami Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sinibong, dijangka selesai dalam waktu terdekat dengan siapnya kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang.
Beliau turut memberitahu, bagi menyelesaikan masalah penyambungan bekalan air bersih dari Kuching ke Sebangan, Sebuyau dan kawasan penempatan semula lain di pesisir pantai, ia disenaraikan dalam projek Bekalan Air Wilayah Penempatan Wilayah Pesisir Pantai Samarahan untuk dilaksanakan di bawah RMK11 membabitkan kos RM200 juta.-Utusan Borneo
Post a Comment