Penyediaan Perkhidmatan Bas Percuma Perlu Perancangan Teliti dan Menyeluruh


KUCHING: Perancangan yang teliti dan menyeluruh perlu dibuat sebelum kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada orang awam.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata banyak aspek yang perlu diteliti sebelum idea ini dapat dilaksanakan.

Antaranya laluan bas, sistem pemantauan, kebajikan pemandu bas, kebersihan dan keselamatan bas, ketepatan serta liputan jaringan bas secara keseluruhannya.

“Saya bersetuju dengan Wong King Wei (DAP-Padungan) untuk kerajaan menyediakan perkhidmatan bas percuma dan bukannya pemberian subsidi.

“Inilah yang kerajaan sedang lakukan ketika ini di bawah program SBST (Stage Bus Service Transformation), kerajaan akan menentukan dan menetapkan bilangan dan jenis bas, laluan dan kekerapan serta pengusaha yang akan dibayar.

“Untuk maklumat ahli yang berhormat Padungan, perancangan bagi pengangkutan awam bukan sahaja bagi bas tetapi termasuk yang lain seperti teksi, kereta sewa, perahu tambang dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Tambah Manyin, kerajaan negeri menyedari keperluan perancangan bagi pengangkutan awam secara keseluruhannya.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa kajian untuk mengatasi perkara ini seperti Kajian Pengangkutan Awam Kuching (2005), Pelan Induk Infrastruktur Pengangkutan Bersepadu Bagi Sarawak (2006) dan Kajian Mengenai Trafik Bandar di Kuching 2010-2030 (2012).

SBST adalah program menyeluruh negara inisiatif kerajaan persekutuan di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Banyak bandar yang terlibat dalam perancangan ini, bagaimanapun kebanyakannya di Semenanjung Malaysia dan pada Disember 2013 kerajaan negeri menerusi kementerian Manyin melobi untuk perkongsian dalam program ini.

Malah Manyin sendiri telah mempengerusikan siri mesyuarat perancangan dan penyelarasan bersama semua agensi yang berkaitan berhubung pengangkutan awam di negeri ini.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget