'Pembangkang tumpang populariti Adenan Satem : Abdullah'



KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri Semop, Abdullah Haji Saidol sinis terhadap usul pembangkang yang bersifat mahu menumpang populariti Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem.



"Semua usul yang dibangkit oleh pembangkang sebenarnya adalah perkara-perkara yang diperjuangkan serta seringkali disuara oleh Adenan sejak mengambilalih jawatan Ketua Menteri", komen Abdullah berkaitan usul ADUN Kota Sentosa pada sidang DUN Sarawak hari ini.

Dalam sidang DUN Sarawak hari ke-2 siang tadi, Chong mengatakan bahawa DAP telah lama menyuarakan isu perjuangan menuntut autonomi Sarawak, iaitu sejak program Deklarasi DAP di Bintulu pada 2014.

Kenyataan Chong yang mempersoal kelewatan tindakan Ketua Menteri Sarawak berkaitan perjuangan menuntut autonomi itu disangkal oleh Abdullah ketika dihubungi sejurus selepas tamat sidang DUN Sarawak siang tadi.

"Jika kita imbas semula setiap perdebatan dalam persidangan DUN sejak tahun 2011, ramai ADUN BN Sarawak telah menyuarakan secara langsung atau tidak langsung tentang ketidakpuasan perkara-perkara seperti kurangnya peruntukan persekutuan serta projek yang tidak memuaskan.

"Isu birokrasi yang melibatkan agensi-agensi persekutuan yang mungkin melengahkan aktiviti-aktiviti pembangunan di negeri Sarawak juga telah lama dibangkit oleh ADUN BN Sarawak", tegas Abdullah yang juga merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Sarawak.

Menurut beliau lagi, sebelum ini Adenan Satem telah mengambil inisiatif yang proaktif dan berani dengan menstrukturkan secara teratur perundingan semua perkara tentang autonomi, kuasa dan pentadbiran dengan pihak Persekutuan, termasuk membentuk berbagai jawatankuasa untuk melihat semua aspek kepentingan Negeri Sarawak.

"Saya yakin sebarang usaha dari pembangkang dalam perkara yang sama tidak akan dilayan malah mungkin mencacatkan usaha kita untuk mendapat perhatian yang lebih dari Kerajaan Persekutuan", tegas beliau.

"Pembangkang yang sering menentang serta mengamalkan sikap permusuhan tidak akan membawa sebarang hasil yang boleh memberi manfaat kepada kita di Sarawak", ujarnya lagi.

Abdullah juga menyatakan bahawa Adenan jelas lantang bersuara tentang kekurangan negeri Sarawak serta sentiasa mahu peruntukan lebih dari persekutuan. 

"Sebab itu, 74 peratus belanjawan negeri yang di usul oleh Ketua Menteri Sarawak adalah ke arah pembangunan dimana sebahagian besar dimanfaatkan kearah pembangunan luar bandar.

"Rakyat Sarawak harus melihat kejujuran serta keiklasan Adenan", seru beliau.-SarawakLIVE

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget