KUCHING: Kementerian Kerja Raya akan mencari kaedah terbaik bagi menaik taraf Jalan Marudi-Baram di Miri yang mengalami kerosakan teruk akibat kenderaan lebih muatan yang melalui jalan berkenaan.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, asalnya jalan itu merupakan jalan balak yang dinaik taraf di bawah Projek Jiwa Murni antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Bagaimanapun katanya, berikutan aduan yang banyak diterima berhubung kerosakan di jalan berkenaan maka beliau perlu campur tangan dan mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah itu.
“Saya akan memikirkan kaedah untuk membolehkan jalan ini diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf dilakukan.
“Buat masa ini JKR Sarawak masih menjalankan kajian mengenai kos untuk menaik taraf jalan ini sekurang-kurangnya kepada standard R1,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB di sini semalam.
Tambah Fadillah, jika perbincangan antara kerajaan persekutuan dan negeri berjaya, jalan itu akan diletakkan di bawah bidang kuasa JKR Sarawak.
“Jalan ini telah mengalami kerosakan yang teruk akibat kenderaan muatan berat yang melaluinya.
“Saya sedang berusaha memastikan perkara ini dapat dipercepatkan seperti yang dimohon oleh kerajaan negeri iaitu sekurang-kurangnya standard R1.
“Standard R1 bermakna jalan kelikir (gravel) selain menguruskan semua papan tanda dan lencongan jalan,” katanya menambah, sedang berusaha memastikan projek itu dapat dilaksanakan segera.
- Borneo Post Online
Post a Comment