Kit Siang gesa pembangkang dekati ahli Umno sekarang

DAP menjangkakan suara-suara sumbang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi lebih kuat menjelang pilihan raya umum akan datang dan mahu ahli Parlimen pembangkang turun ke bawah menjelaskan kepada akar umbi Umno isu yang melanda negara.

Pemimpin veteran parti Lim Kit Siang berkata, Najib menjadi lebih kuat selepas berakhirnya perhimpunan agung Umno baru-baru ini "tetapi Umno menjadi lebih lemah".

"Kita perlu mendekati 3 juta (ahli Umno) itu supaya mereka memahami. Ini bukan tentang menyelamatkan Umno atau PAS, atau menyelamatkan seorang individu.

"Tetapi ini adalah tentang menyelamatkan negara," kata Lim pada majlis mengumpul dana Parti Amanah Negara (Amanah) di Taiping malam tadi.

"Beliau (Najib) boleh mendapatkan 300 atau 400 cawangan (Umno) dari Pahang menyokong beliau, tetapi tidak semua 21,000 cawangan dan 3 juta ahlinya di seluruh negara (menyokongnya)."

Lim berkata, menjadi matlamat pembangkang untuk menang sekurang-kurangnya 6 negeri selain Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum itu Lim berkata, penggantungan beliau daripada Parlimen selama 6 bulan mempunyai rahmat di sebaliknya kerana beliau mempunyai lebih banyak masa untuk melawat rakyat.

Katanya, beliau berjaya membuat lawatan ke 45 kawasan Parlimen dan mengetengahkan isu nasional seperti sumbangan RM2.6 bilion kepada Najib dan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Lim berkata Najib berasa tidak selamat dan dengan itu terpaksa memperkenalkan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memberikan sebuah majlis diketuai perdana menteri, kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan dan mengarahkan tangkapan, carian dan rampasan di kawasan itu tanpa waran.

Lim menggelarkan undang-undang itu "Rang Undang-Undang Tiada Keselamatan Negara" dalam ucapannya malam tadi.

"Malah, rang undang-undang itu akan mewujudkan rasa tidak selamat negara untuk rakyat," katanya.

"MKN boleh mengambil alih (pentadbiran) kerajaan-kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sambil mengetepikan kuasa Agong dan Kabinet," katanya.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu memberitahu perhimpunan itu, orang Melayu tidak harus terperangkap dalam percubaan Najib memainkan isu perkauman dengan mendakwa DAP adalah sebuah parti yang dimiliki kaum Cina.

Ini kerana katanya, ramai orang Melayu kini menjadi ahli parti itu, memberi contoh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said sebagai salah seorang daripadanya.

Seorang lagi penceramah malam tadi, Pengerusi PKR Perak Dr Mohd Noor Manuty, yang akan mengangkat sumpah sebagai Senator pada Khamis, memberitahu perhimpunan itu, beliau menjangka akan melalui masa yang sukar di Dewan Negara.

Beliau merujuk khusus kepada pembentangan rang undang-undang MKN untuk kelulusan Dewan itu memandangkan hanya terdapat 6 senator yang dilantik daripada pembangkang, manakala 70 daripada kerajaan Barisan Nasional. – 15 Disember, 2015.- TMI

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget