KUCHING: Penduduk yang menggunakan Jalan Miri-Marudi akan menikmati perjalanan yang lebih menyenangkan tidak lama lagi kerana jalan sepanjang 43.2 km itu akan dinaik taraf dengan segera.
Mesyuarat kabinet negeri semalam meluluskan RM77.4 juta untuk menaik taraf jalan tersebut dengan pelaksanaannya dijangka dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Ketika mengumumkan keputusan kabinet itu, Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, isu keadaan jalan teruk dibangkitkan dalam mesyuarat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Sylvester Entri Muran, yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air).
“Susulan daripada itu, kabinet menyokong permintaannya untuk menaik taraf jalan berkenaan dengan segera.
“Maka itu, hari ini (semalam), saya gembira untuk mengumumkan kabinet negeri telah meluluskan pelantikan pemegang konsesi CMS untuk melaksanakan kerja menaik taraf Jalan Miri-Marudi dengan kos keseluruhan RM77.4 juta yang akan dibiayai di bawah tabung MARRIS (Sistem Maklumat dan Rekod Jalan Malaysia),” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mawan yang juga presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) berkata keadaan jalan yang dibina di bawah Projek Jiwa Murni itu buruk disebabkan hujan lebat dan penyalahgunaan jalan tersebut oleh kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan.
“Kami tidak menyatakan jalan itu tidak cukup bagus tetapi ia dibina bukan untuk menampung trak yang membawa muatan berlebihan,” katanya.
Beliau berharap kelulusan oleh kabinet negeri semalam dapat menghentikan aduan dan rungutan daripada orang ramai dan mana-mana pihak mengenai apa jua isu agar ia tidak digunakan lagi sebagai alat politik oleh pihak tertentu.
Mawan yang merupakan ADUN Pakan dan Ahli Parlimen Saratok, menegaskan bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan melawat kawasan berkenaan pada hari ini dan beliau (Mawan) ditugaskan oleh kabinet negeri untuk mengiringi pemimpin persekutuan itu dalam lawatannya.
Sementara itu, beliau berkata, selain Jalan Miri-Marudi, kabinet semalam turut meluluskan kerja menaik taraf Jalan Saeh di Niah seperti yang dibangkitkan oleh ADUN Bekenu Rosey Yunus yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga.
“Kami gembira kerana kabinet negeri memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan mereka,” kata Mawan.
Antara mereka yang hadir pada sidang media semalam ialah Timbalan Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie (juga Menteri Muda Pembangunan Komuniti), Naib Presiden Kanan TERAS Rosey Yunus, Setiausaha Agung TERAS Datuk Sylvester Entri dan Ketua Penerangan TERAS Sim Hang Seng.
- Borneo Post Online
Post a Comment