KUCHING: Semua ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP) menyuarakan sokongan penuh dan berdiri teguh di belakang Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh untuk terus menerajui perjuangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden Datuk Dr Jerip Susil berkata, semua ahli UPP di seluruh cawangan di negeri ini sepakat menolak cadangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mencadangkan agar Wong bersara daripada dunia politik dan sebagai balasan Presiden SUPP Senator Dr Sim Kui Hian menawar untuk tidak bertanding pada PRN akan datang.
“Sebuah akhbar harian tempatan berbahasa Cina semalam (kelmarin) melaporkan SUPP mencadangkan agar Dato Sri Wong bersara dari politik dan sebagai balasan Dr Sim menawar untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang.
“Akhbar itu melapor SUPP menuntut persaraan Wong sebagai prasyarat rundingan antara kedua-dua parti dan jika laporan itu benar, UPP menolak sekeras-kerasnya cadangan agar Dato Sri Wong bersara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UPP di sini semalam.
Sidang media sama turut diadakan serentak pada jam 4.30 petang semalam di UPP Sibu dan Miri bagi menunjukkan sokongan penuh kepada Wong untuk meneruskan perjuangan parti.
Dr Jerip memberitahu prasyarat sedemikian berniat buruk dan menunjukkan dendam peribadi untuk menyingkirkan Presiden UPP.
“Ia tidak akan membawa kepada sebarang kompromi, jika prasyarat itu benar, ia amat dikesali kerana SUPP menolak peluang untuk berkompromi demi perpaduan masyarakat Cina hanya kerana mahu menyingkirkan Dato Sri Wong,” tambahnya.
Malah beliau menegaskan prasyarat sedemikian mempamerkan ketidakikhlasan untuk berunding dan hanya sekadar alasan kepada Ketua Menteri dan orang ramai agar tidak mengadakan rundingan dengan UPP.
“Justeru, kami ahli dan barisan pimpinan UPP meng-umumkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Dato Sri Wong untuk memimpin parti dalam PRN nanti. Semua pemimpin UPP setiap cawangan di negeri ini mengisytiharkan kami akan hidup dan mati bersama Dato Sri Wong.
“Dato Sri Wong adalah Presiden UPP dan SUPP tidak berhak untuk memberitahu kami siapa pemimpin kami atau kami memberitahu mereka siapa pemimpin mereka,” tegasnya lagi.
Bagaimanapun, Dr Jerip berkata, UPP bersiap sedia untuk berunding dengan SUPP demi kebaikan ma-syarakat Cina.
“Dato Sri Wong akan me-mimpin UPP dalam sebarang rundingan sedemikian dan sebarang cadangan oleh SUPP agar beliau bersara ditolak sekeras-kerasnya oleh UPP,” ujarnya.
Hadir sama Setiausaha Agung UPP George Lo dan pemimpin cawangan serta ahli UPP lain.
- Borneo Post Online
Post a Comment