'Kuasa ketiga' perlu untuk jayakan perpaduan UMNO-PAS


Bukan senang.Hajat dan realiti adalah dua perkara yang berbeza dalam harapan untuk melihat termeterinya perpaduan antara UMNO dan PAS.

Bukan seorang dua tetapi agak ramai yang merasa ia tidak semudah kata-kata kerana berbagai faktor khususnya dari sudut pandang politik.Pembesar kedua parti diatas mungkin sangat mengharapkannya namun dibawah ada macam-macam ragam yang perlu ditempohi.

Salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga cendikiawan Islam,Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sendiri melihat rintangan itu.

"Saya merasakan sejujurnya ini harus dilakukan oleh kuasa ketiga, ia tidak boleh dilakukan oleh UMNO, walaupun saya adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO, dan PAS juga tidak boleh lakukan kerana parti politik sentiasa ada kepentingannya," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga portfolio agama itu menyatakan demikian semasa berucap menutup Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di Kuala Lumpur,Jumaat.

Semalam,Khamis majlis perasmian multaqa itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang yang memperkuatkan pengharapan kearah perpaduan dua parti Islam terbesar itu.

Dalam konteks ini Asyraf Wajdi berpendapat gerakan kearah perpaduan dua parti itu hanya boleh digerakan oleh 'kuasa ketiga' atau third force yang terdiri dari badan seperti alumni Al-Azhar,para alim ulamak dan kalangan yang tiada kepentingan politik.

Usaha pihak berkenaan harus dijalankan secara berterusan untuk tujuan berkenaan.

Beliau menjelaskan perpaduan yang ditunjangi kepentingan politik tidak akan berkekalan kerana hanya kesatuan yang dibentuk berasaskan agama akan terpelihara dan mendapat berkat daripada Allah.

Beliau berkata sekiranya agenda perpaduan diasaskan oleh kepentingan politik, kepentingan untuk memenangi pilihan raya atau kepentingan bersifat duniawi yang tidak ada hala tujunya, ia akan menjadi retorik dan tidak berkekalan.

"Tetapi kalau perpaduan dan kesatuan itu diasaskan dan ditunjang oleh kefahaman Islam yang tuntas apabila kita bermuafakat dan sepakat demi Islam dan umat Islam, rahmat dan barakah Allah pasti ada.

"Kita tak perlu risau sama ada soal kita dianiaya, diperlekehkan, diperbudakkan, diperbodohkan, ditipu kerana kita dipelihara oleh Allah kerana kita melaksanakan apa yang dituntut oleh Allah. Ini yang perlu digerakkan oleh kuasa ketiga tadi," katanya.

Dalam pada itu beliau berpendapat para pemipin dan ahli kedua parti di semua peringkat harus berjiwa besar jika mahu mencapai perpaduan.

Ketika bercakap dengan wartawan selepas majlis itu beliau mengingatkan cubaan menimbulkan kembali sejarah perselisihan faham antara PAS dan UMNO hanya akan menjejaskan agenda perpaduan ketika ini.

Sebaliknya, kata Asyraf Wajdi kedua-dua parti itu perlu mula memandang ke arah permuafakatan supaya ia dapat menjamin kepentingan umat Islam di negara ini.

"Kenapa perlu gali dan selongkar segala isu-isu lama, yang hakikatnya generasi sekarang tak pernah ada dalam zaman itu, bahkan majoriti pemimpin sekarang tak ada dalam 'baggage' itu, sejarah itu.

"Kalau kita nak cakap soal perpaduan, permuafakatan itu yang paling penting. Kedua-dua pihak harus berlaku jujur dan ikhlas dan tak perlu lagi membicara soal kelemahan masing-masing," katanya.

Beliau mengulas mengenai sikap sesetengah pihak yang seolah-olah tidak senang dengan agenda perpaduan antara dua parti politik itu, dan sengaja menimbulkan kembali perkara-perkara yang menjadi titik tolak pertelagahan antara PAS dan UMNO.

Timbalan menteri itu berpendapat UMNO dan PAS masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, dan adalah lebih baik kiranya kedua-dua parti politik itu menumpukan usaha untuk bergerak ke arah perpaduan seperti yang dituntut dalam syariat Islam.

- Agenda Daily
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget